Berita

Satu jam jalan kaki bawa mangsa dipatuk ular ke hospital

ANGGOTA pasukan penyelamat terpaksa berjalan kaki selama sejam untuk ke sebuah kampung Orang Asli di Gerik hari ini bagi membawa seorang lelaki yang dipatuk ular kapak ke hospital.

Ini disebabkan kenderaan pasukan penyelamat tidak dapat melalui jalan ke tempat kejadian di Kampung Dala di sini yang berbukit dan jauh di pedalaman.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 2.32 petang.

Menurutnya, mangsa seorang lelaki Orang Asli berusia 30 tahun yang hanya dikenali sebagai Man, cedera dipatuk ular kapak pada kaki kiri ketika menangkap ikan di hulu Sungai Rengat.

Beliau berkata, agensi penyelamat yang terlibat ialah JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

“Jalan masuk ke lokasi kejadian berbukit dan jauh di pedalaman menyebabkan kenderaan pasukan penyelamat terpaksa ditinggalkan di kawasan yang tidak dapat dilalui kenderaan.

“Perjalanan diteruskan ke tempat kejadian mengambil masa lebih kurang satu jam.

“Keadaan mangsa stabil. Anggota penyelamat membawa mangsa keluar dari tempat kejadian menggunakan stretcher hingga ke lokasi kenderaan.

“Mangsa dihantar ke Hospital Gerik untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – Perak Gazette

Gambar Ihsan JBPM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button