Politik

Satu dua tiga lekuk, bedal sajalah labu…

KOMENTAR

INGATKAH lagi kita dengan salah satu al-kisah sang kancil.

Dalam satu kejadian, sang kancil memberitahu bu­aya-buaya dalam sungai yang ia diarahkan oleh Raja Sulaiman untuk membilang kesemua buaya dalam sungai itu. Ini bagi membolehkan Raja Sulaiman memberikan mereka hadiah.

Maka beraturlah buaya itu di sepanjang sungai – dari tebing sebelah sini, sampailah ke tebing sebelah sana.

Sang kancil pun melompat ke atas belakang buaya-buaya itu sambil menyanyi: “Satu dua tiga lekuk, jantan betina aku ketuk. Empat, lima, enam dan tujuh, lapan, sembilan dan 10, 11, 12 dan 13. Ekor kalian jangan melibas, 14, 15 dan 16, perintah Raja Sulaiman ditunaikan lekas.”

Akhirnya sang kancil berjaya menyeberangi sungai. Lalu ia berkata: “Wahai buaya-buaya semua, tahukah kamu bahawa aku telah menipu kamu? Sekarang kamu bersurailah!”. Tatkala itu, barulah buaya tahu bahawa mereka telah ditipu.

Dalam kemelut politik Malaysia hari ini siapa agaknya yang kena lekuk ?

Hari ini engkau pecat aku. Esok kau ambil aku balik.

Esok aku letak jawatan. Hari ini aku ambil balik jawatan itu.

Hari ini engkau musuh aku. Esok, marilah balik jadi kawan aku.

Hai, macam-macam dunia politik Malaysia hari ini. Dulunya usung tilam sana sini untuk menjadi bahan bukti kes satu perbicaraan di mahkamah berkait isu moral.

Berpuluh-puluh saksi dipanggil, berpunca dari hasil sebuah buku “50 dalil kenapa si polan itu tidak boleh menjadi (PM) Perdana Menteri”.

Dunia oh! dunia. Agaknya, apakah bentuk politik yang sedang ‘dilagukan’ oleh pemain-pemain dalam politik Malaysia waktu ini?

Biar apa pun, kita rakyat Malaysia sekurang-kurangnya menghormati pendirian sebilangan ahli politik yang kekal dengan prinsip perjuangan dan ideologinya sehingga ke penghujung hayatnya.

Apa pun, benar-benar drama Pakatan Harapan kali ini. Serba-serbi tak kena dengan ungkapan atau kenyataan yang keluar daripada mulut mana-mana pemimpin Pakatan Harapan – ya, memakan diri sendiri.

Ini mengingatkan kita pada adegan-adegan dalam filem arahan Allahyarham P. Ramlee.

Dalam filem Nujum Pak Belalang terbitan tahun 1959 itu, dua pelakonnya, Allahyarham Aziz Sattar (Badan) sedang membahagikan barang rompakan (duit syiling) dengan Allahyarham S.Shamsuddin (Nyawa) dalam gua.Badan: 1 untuk engkau, 1 untuk aku. 2 untuk engkau, 2 untuk aku. 3 untuk engkau, 3 untuk aku. Lepas tiga berapa??
Nyawa: Hentam sajalah…
Badan: Hentam sajalah untuk engkau, hentam sajalah untuk aku. Lepas hentam sajalah??
Nyawa: Bedal daa…
Badan: Bedal daa untuk engkau. Bedal daa untuk aku. Lepas bedal daa??…

Benarlah – mesej-mesej yang terkandung dalam filem P. Ramlee tidak luput dek zaman.

Bedal sahajalah si pemain-pemain politik Malaysia.

Apa yang keluar daripada mulut anda, semuanya sudah tak laku.

Motifnya dan tembelangnya mudah dibaca oleh rakyat Malaysia. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button