Nasional

Sambutan Minggu Perpaduan Penting Untuk Semarakkan Semangat Patriotik – Pemangku Raja Perlis

KANGAR: Sambutan Minggu Perpaduan adalah penting untuk menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia, titah Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Titah baginda, ia dengan memahami dan menghayati Perlembagaan Persekutuan serta Rukun Negara bagi membentuk warganegara bertanggungjawab dan mempunyai jati diri yang kukuh.

Baginda bertitah, sambutan itu juga membangkitkan semangat cintakan negara melalui usaha dan kerjasama pelbagai kaum tanpa mengira perbezaan termasuk agama mahupun ideologi politik, dalam menjalankan kerja amal serta sukarela.

Selain itu, titah baginda, amalan bertoleransi dan saling menghormati dipupuk melalui pelbagai medium, termasuk dialog antara agama, forum kebudayaan serta acara integrasi.

“Maka, semangat cintakan negara dapat terus diperkukuh serta dihayati seluruh rakyat Malaysia,” titah baginda ketika merasmikan majlis sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Perlis di Kuala Perlis, dekat sini, hari ini.

Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Titah baginda, perpaduan adalah nilai amat penting dalam membina negara Malaysia, sekali gus menyumbang keharmonian dalam kepelbagaian budaya, dan semangat itu dapat memastikan pencapaian cita-cita yang lebih tinggi.

Baginda bertitah, semangat perpaduan dan integrasi rakyat Malaysia diharap akan terus menjadi akar umbi serta tunjang kekuatan bagi menjana kemajuan negara demi kesejahteraan bersama. – BERNAMA

FOTO

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button