Politik

Salahuddin tersalah pijak ekor

ANALISIS

DI DALAM politik jangan mudah melatah, jika mudah melatah maka ia akan menyebabkan lebih banyak kesilapan dilakukan dan akhirnya akan memakan diri sendiri.

Isunya Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menuduh berlaku penyelewengan RM1.4 bilion di dalam Kementerian Pertanian. Apa yang perlu dilakukan oleh Datuk Seri Salahuddin Ayub selaku menteri hanya perlu menyerahkan kepada polis dan SPRM untuk melakukan kerja siasatan.

Beliau tidak perlu bertindak melebihi daripada apa yang sepatutnya. Tetapi beliau telah bertindak agak keterlaluan

Sepatutnya apabila telah jelas hujung dan pangkalnya serta pokok ceritanya barulah bertindak itupun perlu dilihat tahap kerosakan yang bakal berlaku dan perlu berada di dalam ruang lingkup yang boleh dikawal.

Menukarkan Ketua Setiausaha secara tiba-tiba ketika isu masih panas bukan tindakan yang bijak. Salahuddin sepatutnya mengkaji dahulu siapa Datuk Mohd Sallehuddin Hassan yang mahu dikenakan tindakan.

Kini segalanya telah berlaku dan kita lihat babak seterusnya.

Bayangkan, kita hanya cuba bayangkan. Orang yang dikenakan tindakan itu adalah salah seorang pemimpin Bersatu parti naungan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Jika Mohd Sallehuddin dipanggil mengadap perdana menteri yang kini berada di Korea dan menceritakan segala-galanya. Apa akan terjadi?

Bayangkan juga jika Mohd Sallehuddin orang kepercayaan Tun dan akan bertanding sebagai ketua bahagian di Kelantan pada pemilihan Bersatu akan datang.

Andaikan Tun mahu melakukan rombakan Kabinet, pastilah Salahuddin akan berada di dalam senarai yang akan digugurkan atau sebagainya.

Memberi alasan tidak terlibat dalam keputusan menukarkan Mohd Sallehuddin bukan jawapannya.

Lihat betapa hebat kenyataan dikeluarkan oleh bekas KSU kementerian tersebut, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan melalui kenyataan medianya memberitahu beliau menerima keputusan dipindahkan ke Jawatan Penempatan Khas JPA yang berkuatkuasa serta-merta.

Beliau juga reda dengan keputusan itu dan menyifatkan ada hikmah di sebalik ketentuan yang ditetapkan Tuhan.

Khabar angin mendakwa pertukaran tersebut ada kaitan dengan kontroversi melibatkan tender padi bernilai RM1.4 bilion.

Sekarang sebenarnya Salahuddin telah pijak ekor Mohd Sallehuddin atau dia telah terpijak ekor Dr. Mahathir? Walaupun Ronnie Liu menganggap Tun hanyalah harimau kertas sahaja tetapi jangan dipandang rendah. Harimau lebih berbahaya apabila dia tidak mengaum, kerana terkamannya yang membunuh dan bukan ngaumannya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button