Saksi lewat: Hakim beri peringatan kepada pihak pendakwa
BARISAN pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini diberi ingatan agar jangan membuang masa mahkamah berikutan saksi yang ingin ditampilkan tiba lewat.
Selain isu berkaitan saksi, barisan pendakwaan juga ditegur dengan tegas oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hakim Collin Lawrence Sequerah supaya bersedia dengan dokumen yang ingin ditampilkan di mahkamah.
Mahkamah hari ini terpaksa ditangguhkan selama lebih 20 minit untuk menunggu kehadiran saksi pihak pendakwaan ke-41, Sharul Ridzwan Nawawi.
“Saksi yang di panggil adalah pegawai bank sahaja dan mahkamah tidak sepatutnya menunggu mana-mana saksi,” kata Hakim Collin.
Sementara itu, saksi Sharul Ridzwan yang merupakan Penolong Pengurus di Cawangan Wisma FGV Maybank Berhad berkata, cek-cek yang diterima pihaknya atas nama Rajan a/l V Thurairatnam tidak menyalahi undang-undang.
Menurutnya tiada sebarangan keraguan dari segi undang-undang terhadap cek-cek yang dikeluarkan Rajan kepada Lewis & Co iaitu pemegang amanah Yayasan Akal Budi.
“Kesemua cek ini dilepaskan transaksi selepas Maybank membuat pengesahan, setuju?” soal peguam Ahmad Zahid.
“Setuju,” jawab Sharul Ridzwan
Peguam menyoal lagi “Setuju atau tidak bahawa kesemua transaksi ini tidak menyalahi undang undang”
Saksi menjawab “Setuju”.
Saksi juga berkata, kesemua cek yang dikeluarkan oleh Rajan kepada Lewis & Co boleh dikesan oleh pihak bank.
“Oleh kerana ia dapat dikesan, maka tiada apa-apa yang hendak disembunyikan?” soal peguam.
“Setuju,” jawab Sharul Ridzwan. Saksi kemudian dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah.
Ahmad Zahid berhadapan 27 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.-SM