fbpx
Nasional

Tiada sesiapa arahkan saya keluarkan 5 keping cek – Rajan, saksi pendakwa

Sambung bicara Ahmad Zahid

SAKSI pendakwa, Rajan A/l V. Thurairatnam mengakui mengeluarkan lima keping cek Maybank masing-masing berjumlah RM76,0000, RM67,000, RM75,000, RM83,000 dan RM65,000.

Rajan, seorang pesara, yang menjadi saksi ke-42 dalam kes perbicaraan membabitkan Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, cek-cek tersebut diserahkan kepada seorang individu bernama Omar Ali di lokasi Fahrenheit, Jalan Bukit Bintang.

Rajan memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, beliau tidak mengetahui siapakah penerima lima keping tersebut kerana tidak pernah berurusan dengan penerima cek berkenaan.

Jelas Rajan, pengeluaran cek-cek tersebut dibuat atas dasar pertukaran kepada matawang Dollar Australia dengan jumlah melebihi A$90,000.

Katanya, tidak ada seorang pun pengurup wang akan menyerahkan wang dengan nilai yang banyak tetapi akan melakukannya dengan kaedah mengeluarkan cek.


Ujarnya lagi, beliau tidak ingat bilakah tarikh sebenar cek-cek tersebut dikeluarkan.

“Mungkin sekitar bulan Jun atau Julai 2016. Saya tidak ingat” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd. Jeffrey Ong hari ini.

Rajan bagaimanapun bersetuju dengan soalan pihak pembelaan apabila dinyatakan cek-cek tersebut adalah untuk bayaran pendahuluan pembelian sebuah rumah di Australia.

Rajan turut menjawab soalan pendakwa raya bahawa beliau tidak menerima arahan daripada sesiapa untuk mengeluarkan lima keping cek berkenaan.

“Saya hanya mengisi tarikh, jumlah yang perlu dibayar dan menurunkan tandatangan di atas cek-cek yang dikelarkan.

“Kemudian, cek diserahkan dengan jumlah , tarikh dan ditandatangan.

“Itu sahaja. Selebihnya, saya tidak tahu,” kata beliau.

Ketika disoal tentang Lewis & Co, Rajan dengan tegas dan nada suara yang jelas memberitahu mahkamah yang bersidang di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa beliau tidak mengenali siapakah Lewis & Co.

“Saya tidak kenal siapa ini Lewis & Co. Saya tidak pernah berurusan dengan Lewis & Co.

“Saya cuma tahu Lewis & Co apabila dimaklumkan oleh pihak bank selepas dua minggu saya mengeluarkan cek.

“Pihak bank menghubungi saya untuk mendapatkan kepastian bahawa saya telah mengeluarkan cek,” jelasnya.

Rajan sekali lagi menegaskan kepada pihak pendakwaan bahawa beliau tidak bertanya apakah tujuan cek dikeluarkan kepada Lewis & Co kerana cek-cek tersebut telah diserahkan kepada Omar Ali.

“Bagi saya, tidak perlu untuk bertanya kerana saya dapat duit tunai, saya serahkan cek kepada anda.

“Tidak ada sebab untuk saya bertanya soalan dan tidak timbul rasa syak wasangka,” kata Rajan.

Rajan berkata, untuk mengeluarkan lima keping cek, beliau membuat pengeluaran daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya dan simpanan lain.

Menjawab satu lagi soalan Harris Ong adakah Rajan mengenali tertuduh di dalam mahkamah?

Rajan: I know of him through paper but I don’t know him personally.

Rajan: I don’t know Lewis & Co and I never have any deal before.

Untuk saksi ini, barisan peguam Ahmad Zahid tidak mempunyai pemeriksaan balas.

Saksi seterusnya, Azman Mohd. Noh tampil untuk membuat pengecaman cek.

Mahamah ditangguhkan pada 23 Mac depan. – SM

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button