Luar Negara

Saintis UK tawar RM38,000 kepada individu yang sanggup dijangkiti COVID-19

WALAUPUN ditawarkan ganjaran RM38,000, ada tak sesiapa yang sanggup dan dengan sengaja dijangkiti COVID-19 semata-mata mahukan habuan tersebut?

Di London, sebuah syarikat penyelidikan perubatan menawarkan ganjaran RM38,000 kepada sesiapa sahaja yang sanggup dijangkiti koronavirus.

Tawaran itu dibuat bagi tujuan penyelidikan dan juga untuk mempercepat proses penemuan vaksin bagi COVID-19.

Menurut laporan portal berita 9news, sesiapa yang sanggup untuk dijadikan bahan ujikaji, akan didedahkan kepada virus itu secara sengaja.

Individu itu juga akan diletakkan dalam bilik berasingan di makmal selama dua minggu dan semestinya tidak dibenarkan mengadakan hubungan fizikal dengan orang lain.

ASTRO Awani yang turut memetik laporan portal berita yang sama menyatakan, syarikat penyelidikan yang dikenali sebagai Hvivo itu juga memaklumkan, sukarelawan yang berminat akan diberikan diet yang terhad.

Walaubagaimanapun  sukarelawan  tidak akan dijangkiti dengan SARS-CoV-2 punca penyakit COVID-19 sebaliknya hanya diberi jangkitan koronavirus 0C43 dan 229E iaitu sejenis koronavirus yang lebih ringan.

Terdapat banyak jenis koronavirus yang direkodkan dalam penyelidikan setakat ini dan SARS-CoV-2 dikatakan antara jenis yang paling mudah berjangkit dan membunuh hidupan.

Tambah Hvivo lagi, uji kaji berkenaan akan dilakukan secara berkumpulan ke atas 24 individu.

Hvivo juga menggunakan kajian kuarantin yang dikenali sebagai “FluCamp”, iaitu kajian yang kerap digunakan bagi mengkaji pelbagai virus seumpamanya.

“FluCamp adalah langkah terbaik untuk menghindarkan gangguan dan lebih fokus.

“Tidak kira individu itu masih belajar, bekerja atau kedua-duanya, FluCamp akan memberikan sukarelawan kelebihan untuk dijaga dengan baik.

“Kami menggalakkan mereka yang sihat untuk menjadi sukarelawan dan menghargai usaha kami untuk mencari penawar bagi penyakit,” kata jurucakap syarikat itu.

Bagaimanapun, jelasnya, kajian ini masih belum diluluskan oleh pengawal selia penyelidikan perubatan United Kingdom.

Pakar percaya vaksin untuk COVID-19 mungkin boleh ditemukan tahun depan.

Lebih 113,000 orang di seluruh dunia telah disahkan menghidap COVID-19 dengan lebih 4,000 disahkan meninggal dunia. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button