NasionalNegeri

RUU: FAMA diberi kuasa pasar hasil ternakan

LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bakal memperluaskan lagi bidang pemasarannya apabila diberi kuasa mengedar hasil ternakan tidak lama lagi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli berkata, ini berikutan kerajaan telahpun meluluskan pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965 (Pindaan 2022) (Akta 141) yang diwartakan pada 6 September.

Zainal Abidin cuba membuat kopi sendiri selepas melancarkan K-shopee dan Kafe Kopi Kampus di PTSS Pauh, Arau, Perlis

Katanya, sekaligus ia membolehkan FAMA terlibat dalam pemasaran hasil ternakan berbanding sebelum hanya tertumpu kepada produk pertanian.

Beliau berkata, tarikh RUU itu berkuat kuasa akan ditentukan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan.

“Ketika COVID-19 melanda negara, pasaran ayam kampung dan burung puyuh terjejas teruk,” katanya.

Katanya, akibat lambakan yang teruk itu, FAMA mengemukakan kepada kerajaan supaya akta ini dipinda bagi membantu kerajaan.

Sehubungan itu, katanya, menerusi pindaan ini akan membolehkan FAMA membantu penternak memasarkan produk mereka.

Bagaimanapun katanya, tidak dinafikan sektor penternakan seperti ayam ada melibatkan syarikat dalam senaraian awam.

“Kita bukan hendak bersaing dengan mereka tetapi mahu bekerjasama serta melengkapi antara satu sama lain,” katanya.

Pensyarah dan pelajar yang terlibat dalam Kafe Kopi Kampus PTSS, Pauh, Arau.

Zainal Abidin berkata demikian kepada sidang media selepas merasmikan penutupan Kursus ‘New Breed Marketing Enterpreneur’ (NBME) di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Pauh, Arau, Perlis.

Ia disertai oleh 350 pelajar dan kakitangan institusi berkenaan.

Turut hadir, Pengarah PTSS Abdul Malek Hassan dan Pengarah FAMA Perlis, Mohd Sharizan Mansor.

Sebelum itu Zainal Abidin turut melancarkan K-Shoppe dan kafe Kopi Kampus di PTSS. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button