RumahPrihatin@GrandSeasons kini dibuka kepada golongan memerlukan, frontliners
RumahPrihatin@GrandSeasons memulakan operasinya khusus untuk membantu golongan kurang berkemampuan dan memerlukan di Kuala Lumpur pada hari ini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, sesiapa sahaja yang memerlukan boleh hadir pada bila-bila masa sahaja.
“Di sini ada 300 buah bilik, klinik kesihatan, pusat kaunseling, pusat vaksinasi dan 1,000 pek makanan percuma akan diberikan.
“Operasi sudah dimulakan hari ini dan sesiapa sahaja termasuklah petugas barisan hadapan juga boleh menggunakan peralatan di sini,” katanya.
Menurut Annuar, sekiranya petugas barisan hadapan di Hospital Kuala Lumpur dihadapan lokasi rumah prihatin mahu menginap atau menggunakan kemudahan seperti bilik air untuk mandi sebelum pulang ke rumah memang dialu-alukan.
Jelasnya, sesiapa sahaja boleh hadir tetapi janganlah menyalah gunakan kemudahan yang diberikan secara percuma ini.
“Bilik Penginapan Prihatin pula akan menyediakan 300 bilik hotel untuk manfaat golongan musafir, pelajar, individu-individu yang memerlukan penginapan sementara dan hanya membayar berdasarkan konsep BSM (Bayar Minimum Sekadar Mampu).
““Individu yang menerima perkhidmatan ini juga dijamin kerahsiaannya. Ia adalah perkhidmatan khas untuk mereka yang mengalami tekanan hidup akibat Covid 19. Kaunseling yang disediakan adalah oleh kaunselor berdaftar. Selain itu perkhidmatan kaunseling bagi menguruskan beban kewangan turut disediakan,” katanya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang www.yayasanwp.org/rumahprihatin atau e-mel ke [email protected] atau hubungi helpline di talian 01171107898. -SM