Siapa sangka seorang komposer dan penerbit terkenal, Ross Ariffin atau nama sebenarnya Roslan Ariffin, 61, di waktu popularitinya hidup serba mewah.
Dia disanjung tinggi kerana kehebatannya bermain piano namun kini dia semakin dilupai kerana kehidupannya cukup mencabar dan cuba bangkit daripada hidup merempat sejak wabak Covid-19.
Ross adalah pemain piano terhebat, penerbit dan komposer selain pernah memenangi pelbagai anugerah muzik antarabangsa.
Dia dilahirkan di Malaysia pada tahun 1962 dan memulakan pengajian piano klasik sewaktu berusialapan tahun.
Ross mendapat biasiswa di United Kingdom untuk belajar piano dan biola malah pernah mengembara ke Eropah membuat persembahan dengan Orkestra Belia British sebagai pemain biola serta pemain piano untuk konsert solo.
Sekembalinya ke tanah air pada 1982 dia mula berkecimpung dalam penciptaan lagu.
Dia yang cukup dikenali sebagai pencipta lagu seperti ‘Dia’ yang dinyanyikan Fauziah Latiff, ‘Kau dan Aku’ nyanyian Ning Baizura, ‘Kurniaan Dalam Samaran, Datuk Siti Nurhaliza, ‘Semalam Ku Tolak Ke Tepi dinyanyikan Liza Aziz dan banyak lagi kini hidup ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.
Ross kini tersisih daripada bergelar selebriti yang pernah mengharumkan namanya di persada muzik negara pada awal 1990-an.
Di sebuah Hotel Bajet di Jonker Walk, Ross yang bekerja melipat tuala dan cadar, menyapu lantai dan menjaga kaunter tanpa bayaran sebaliknya
dibenarkan menginap di hotel berkenaan secara percuma.
“Hidup saya tidak seperti dahulu. Saya hilang segala-galanya sejak wabak Covid-19 kerana industri muzik menyebabkan ramai hidup melarat.
“Saya tidak terkecuali pernah menjadi gelandangan tidur di kaki lima Pasar Seni di Kuala Lumpur serta mendapat makan di Pertiwi Soup Kitchen setiap hari.
“Bila saya mendapat penyakit serangan jantung dan dua kali diserang strok kehidupan saya terumbang-ambing.
“Saya ambil keputusan balik ke Melaka cuba mencari pekerjaan dan memperbaiki kehidupan dalam keadaan kesihatan saya sedikit terjejas,” ujarnya.
Ross berkata, dia berhijrah ke Melaka sejak sebulan lalu cuba mengubah nasibnya berbanding di Kuala Lumpur serta berhasrat untuk kembali mencipta lagu yang pernah mengharumkan namanya.
Katanya, semangatnya untuk bangkit semula selepas mengingat kembali kejayaan yang pernah diraihnya iaitu menerusi lagu ciptaannya Ceritera Cinta nyanyian Jaclyn Victor memenangi anugerah Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-22 pada tahun 2008.
Selain itu antara kejayaan diraih Ross menerusi lagu ciptaannya Semalam Ku Tolak Ke Tepi nyanyian Liza Aziz memenangi ABU Golden Kite World Song Festival dan Anugerah Industri Muzik (AIM) untuk album pop terbaik milik penyanyi Aishah.
“Sebenarnya saya rasa malu hidup melarat, pengalaman menjadi gelandangan selama beberapa tahun cukup memeritkan tetapi ini sebenarnya kehidupan terpaksa saya lalui,” katanya yang pernah memenangi anugerah Lagu Filem Terbaik dan dan Producer Terbaik.
Katanya, dia tetap berbangga berkecimpung hampir 35 tahun dalam industri muzik serta sudah menghasilkan 64 lagu untuk beberapa artis terkenal tanah air.
Dia dianggap sebagai komposer dan penerbit muzik veteran Malaysia bersama Sony Music.
Ross cukup termasyhur apabila membuat persembahan di seluruh rantau ini sebagai pemain piano klasik profesional serta pemain piano serba boleh merangkumi semua genre muzik.
Dia telah menjelajah dunia membuat persembahan dari Alaska ke Terusan Panama, dari Belanda ke New York, Amerika Syarikat (AS) dan dari Rusia ke Australia serta Hawaii. – SM