SEBANYAK RM787.61 juta elaun khas barisan hadapan telah disalurkan berdasarkan 2,193,480 tuntutan setakat 4 Jun lalu.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tuntutan yang terdiri daripada doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan wabak COVID-19.
“Elaun khas ini juga dipanjangkan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, bomba, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta anggota RELA yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Ke-57, hari ini.
Sementara itu, sebanyak RM3.76 juta telah disalurkan kepada 508 seniman dan organisasi dalam sektor seni dan budaya sejak 4 Jun lalu.
Menurut Tengku Zafrul, dana itu adalah di bawah Inisiatif Pemulihan CENDANA di mana kerajaan memperuntukkan sebanyak RM10 juta kepada 3,000 seniman dan organisasi seni.
“Penerima akan menerima saiz geran yang berbeza bergantung kepada permohonan dan program yang disasarkan.
“Para penggiat industri kreatif adalah disaran untuk menggunakan peluang kemudahan yang disediakan dan boleh memohon bantuan dari kedua agensi berkaitan dengan melayari www.mycreative.com.my/penjana dan www.cendana.com.my. -SM