RM76 bilion potensi pelaburan setakat Mac 2024 – Anwar
Malaysia berjaya menarik pelaburan asing berpotensi berjumlah RM76.1 bilion setakat Mac tahun ini, hasil kejayaan misi perdagangan dan pelaburan negara di Australia, Jerman dan Perancis, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menyifatkan kejayaan ini hasil usaha sama beberapa kementerian dan agensi kerajaan seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Wisma Putra, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia.
Bercakap pada perhimpunan kakitangan kementerian kewangan hari ini, beliau berkata ia juga hasil usaha kerajaan untuk memastikan kestabilan politik, kerjasama dengan penjawat awam, serta matlamat dan dasar negara yang jelas.
Anwar juga menekankan sambutan semasa lawatan rasminya ke Jerman baru-baru ini
“Jerman mempunyai ekonomi yang teguh, menduduki tempat ketiga terbesar di dunia. Sambutan hangat yang kita terima sebagai sebuah negara kecil membanggakan,” katanya.
Baru-baru ini dilaporkan bahawa Malaysia telah berjaya menarik pelaburan berpotensi bernilai RM45.4 bilion berikutan lawatan perdana menteri ke Jerman.
Bagaimanapun, Anwar berkata, masih ada ruang untuk penambahbaikan termasuk dari segi mempercepatkan kelulusan projek.
Sementara itu, mengenai angka pertumbuhan dan ramalan tahun ini, Anwar berkata Kajian Ekonomi dan Monetari Bank Negara Malaysia 2023 yang dikeluarkan semalam adalah positif dan meyakinkan.
“Asas ekonomi Malaysia kekal teguh, dan prospek ekonomi untuk 2024 adalah lebih baik daripada 2023 kerana kami mencapai pertumbuhan keluaran dalam negara kasar sebanyak 3.7% walaupun berdepan pelbagai cabaran dan ketidaktentuan ekonomi global.
“Bagi tahun ini, ekonomi kita dijangka terus kukuh dengan ramalan pertumbuhan 4% hingga 5%,” katanya.
Faktor yang menyokong peningkatan prestasi ekonomi Malaysia termasuk penurunan kadar pengangguran yang jatuh kepada 3.3% pada Januari 2024, dan kadar inflasi yang menurun kepada 1.6% pada suku keempat 2023 (S4 2023) daripada 2% pada Q3 2023.
Prestasi eksport juga menunjukkan tanda-tanda pemulihan pada Januari tahun ini, dengan peningkatan sebanyak 8.7% selepas menurun selama 10 bulan berturut-turut dari Mac hingga Disember 2023.
Anwar berkata selain angka makroekonomi yang positif, prospek pelaburan negara juga berada pada tahap yang memberangsangkan. – SM