Ribuan pekerja Bangladesh terkandas, minta balik M’sia bekerja
RIBUAN pekerja Bangladesh yang pulang bercuti ke negara asal mereka terkandas akibat penularan Covid-19 mengadakan demonstrasi di hadapan Kementerian Luar di Dhaka semalam untuk menuntut agar mereka segera dibenarkan kembali ke Malaysia.
Memetik laporan New Age Bangladesh, para pekerja yang melakukan demonstrasi itu memaklumkan, visa kebanyakan pekerja asing terbabit sudah tamat tempoh menyebabkan mereka tidak boleh kembali ke Malaysia untuk bekerja dan berdepan dengan masalah merumitkan.
Mereka berkata, lebih 25,000 pekerja yang dijadualkan kembali ke Malaysia, terkandas di Bangladesh akibat pandemik itu dan meminta bantuan kerajaan mereka.
Menurut laporan itu lagi, Setiausaha Luar Bangladesh, Masud Momen memberi jaminan kepada para pekerja berkenaan yang kerajaan mereka akan membincangkan perkara itu dengan Putrajaya.
Memetik perbualan pekerja asing yang hanya dikenali sebagai Md Mohiuddin, beliau pulang ke Bangladesh pada 28 Januari lalu dan dijadualkan kembali ke Malaysia pada 6 Mei lalu tetapi kini terkandas akibat pandemik itu.
Katanya, visanya tamat tempoh pada 6 Mei lalu dan kini dia tidak tahu sama ada dirinya bersama 20 pekerja lain dari kampung mereka di Taltali, Barguna, akan dibenarkan kembali ke Malaysia untuk bekerja atau tidak.
Seorang lagi pekerja asing, Nazrul Kabiraj memberitahu New Age, beliau datang ke Malaysia tiga tahun lalu menggunakan wang bapanya yang dikumpul dengan menjual tanah mereka dan barang perhiasan ibunya.
Kumpulan pekerja itu meminta bantuan kewangan daripada kerajaan Bangladesh kerana mereka sudah menganggur lebih tujuh bulan. – FMT – SM