Rasuah perlu ditakrif semula, penerima sumbangan bukan rasuah – Abdul Hadi
Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, takrif rasuah hendaklah dikaji dari sudut pandangan Islam yang sebenar, dengan tidak meletakkan makna rasuah sekiranya sumbangan kepada pihak yang sebenarnya memang memerlukan bantuan dan sumbangan.
Kata beliau, golongan yang menerima sumbangan sama ada individu atau masyarakat umum, bukan untuk tujuan peribadi dan kalangan tertentu sahaja.
“Maka tiada orang yang akan menjadi mangsa akibat kesalahan daripada tindakan undang-undang yang dizalimi, bukan kerana kesalahannya mengikut hukum Allah SWT.
“Pada masa yang sama, perlu diambil kira dari segi ekonomi pendapatan atau gaji yang cukup bagi keperluan diri dan keluarga,” katanya dalam tulisan di Facebooknya kelmarin.
Menurut Presiden Pas itu, sekiranya mahu mencegah wabak penyakit seperti taun dan Covid-19, maka hendaklah dicegah dengan tindakan yang sempurna dan menyeluruh.
“Bermula daripada kempen kefahaman dan kesedaran akan ancaman bahaya penyakit tersebut, sehinggalah dilakukan pencegahan dengan vaksin dan ubat, dilakukan langkah kuarantin dan tindakan undang-undang,” katanya.
Kerja pecegahan, kata Abdul Hadi, menjadi sia-sia kalau sekadar kempen sahaja, tanpa pencegahan, tidak ada vaksin dan ubat, tiada langkah kuarantin dan tiada tindakan undang-undang.
“Laksana melawan penyakit wabak denggi dengan sekadar berkempen, tanpa ubat dan membiarkan tempat pembiakan nyamuk berleluasa atau sekadar membeli ubat nyamuk sahaja.
“Jenayah rasuah merosakkan diri manusia dan kehidupan mereka sehinggalah alam sekitar yang memerintah dengan nafsu meluluskan segala projek yang merosakkan,” katanya.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kegagalan menangani rasuah kerana mata rantai ini diputuskan oleh konsep sekularisme Barat yang memutuskan setiap urusan kehidupan manusia dengan agama.
Beliau juga berkata, langkah menangani rasuah dilaksanakan melalui pembangunan insan secara fardu ‘ain yang wajib kepada setiap lelaki dan wanita dalam ilmu aqidah, keimanan kepada Allah dan Hari Akhirat secara khusus, di samping rukun iman yang lain.
“Begitu juga dalam ilmu syariat dan akhlak. Setiap Muslim memahami haramnya rasuah dan ia adalah dosa besar, bukan salah dari segi undang-undang sahaja.
“Mereka mengetahui perbezaan antara akhlak mulia dengan akhlak buruk secara ikhlas. Ilmu fardu ‘ain ini diwajibkan kepada setiap Muslim sama ada mereka itu orang alim atau jahil, pemimpin, raja dan rakyat, ketua, pengarah, pengikut, majikan, pekerja dan lain-lain,” katanya.
Berikut tulisan penuh beliau:
MUHASABAH TANGANI RASUAH
Jangan saling salah-menyalahkan apabila bercakap mengenai penyakit rasuah, laksana kanak-kanak yang mendendangkan lagu bangau oh bangau, berpusing-pusing dan tidak mahu muhasabah diri sendiri.
Memang binatang seperti bangau dan seumpamanya tidak perlu bermuhasabah. Namun, semua manusia itulah yang akan dihisab tanpa mengira sesiapa sahaja. Allah SWT berfirman:
﴿أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ١١٥﴾
“Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami hanya menciptakan kalian secara main-main sahaja (dengan tiada sebarang hikmah pada penciptaan itu); dan kalian (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Surah al-Mu’minun: 115)
Allah SWT Tuhan Pencipta Alam yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana, telah menugaskan kepada para Rasul untuk membawa Islam sebagai petunjuk yang sempurna bagi sifat kejadian manusia mengikut fitrahnya. Dan mereka hendaklah melaksanakan Islam itu dengan sempurna, kerana firman-Nya:
﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ٢٠٨﴾
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menuruti jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kalian.” (Surah al-Baqarah: 208)
Allah SWT mendedahkan iktibar daripada kisah kaum Yahudi Bani Israel yang beriman kepada sebahagian Kitab Allah dan tidak beriman kepada sebahagian yang lain sebagaimana firman Allah SWT:
﴿…أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ٨٥ أُولَئِكَ الَّذِينَ اشْتَرَوُا الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالْآخِرَةِ فَلَا يُخَفَّفُ عَنْهُمُ الْعَذَابُ وَلَا هُمْ يُنْصَرُونَ٨٦﴾
“…Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (daripada isi) al-Kitab (Taurat) dan mengingkari terhadap sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat sedemikian itu antara kalian, melainkan kehinaan dalam kehidupan di dunia, dan pada Hari Kiamat mereka dikembalikan kepada azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah sekali-kali tidak lalai akan apa yang kamu lakukan. (85); Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada Hari Kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan. (86).” (Surah al-Baqarah: 85-86)
Allah SWT mendedahkan antara penyakit yang menimpa puak Yahudi Bani Israel ialah amalan rasuah. Firman Allah SWT:
﴿لَوْلَا يَنْهَاهُمُ الرَّبَّانِيُّونَ وَالْأَحْبَارُ عَنْ قَوْلِهِمُ الْإِثْمَ وَأَكْلِهِمُ السُّحْتَ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَصْنَعُونَ٦٣﴾
“Alangkah baiknya jika orang yang alim dan pendeta-pendeta dalam kalangan mereka, melarang mereka daripada mengeluarkan perkataan-perkataan yang dusta dan daripada memakan sumber yang haram? Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan itu. (Surah al-Ma’idah: 63)
Telah tersebar dalam kalangan mereka kejahatan diri dan harta seperti dosa rasuah, serta sikap para agamawan yang tidak mencegah kemungkaran. Antara harta yang paling haram ialah harta rasuah yang ditegaskan secara nyata oleh firman Allah SWT:
﴿وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ١٨٨﴾
“Dan janganlah sebahagian daripada kalian makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) antara kalian dengan jalan yang batil, dan jangan pula kalian menghulurkan harta kalian (memberi rasuah) kepada hakim-hakim, supaya kalian dapat memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia yang lain dengan (berbuat) dosa, padahal kalian mengetahui (akan kesalahannya).” (Surah al-Baqarah: 188)
Ayat di atas telah ditafsirkan secara terperinci dalam banyak hadis yang menunjukkan dosa besar, antaranya sabda Rasulullah SAW:
لَعَنَ اللَّهُ الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ وَالرَّائِشَ.
“Allah melaknat orang yang memberi rasuah, menerima rasuah dan menjadi perantara rasuah.” (Riwayat al-Tirmidhi 1337, Ibn Majah 2313 dan lain-lain)
Hadis Rasulullah SAW ini menunjukkan bahawa jenayah rasuah melibatkan semua pihak, bermula dengan pemberi, penerima dan orang tengah. Apabila Allah SWT melaknat bermakna perbuatan rasuah adalah satu dosa besar yang dikutuk, wajib dihukum di dunia dan akhirat sekiranya tidak bertaubat atau menerima hukuman yang setimpal di dunia ini.
Apabila rasuah adalah satu dosa besar, maka Islam mengambil pendekatan menanganinya secara holistik dan melibatkan semua pihak, bermula daripada individu, masyarakat dan negara, bukannya secara cebisan sahaja.
Langkah menangani rasuah dilaksanakan melalui pembangunan insan secara fardu ‘ain yang wajib kepada setiap lelaki dan wanita dalam ilmu aqidah, keimanan kepada Allah dan Hari Akhirat secara khusus, di samping rukun iman yang lain. Begitu juga dalam ilmu syariat dan akhlak.
Setiap Muslim memahami haramnya rasuah dan ia adalah dosa besar, bukan salah dari segi undang-undang sahaja. Mereka mengetahui perbezaan antara akhlak mulia dengan akhlak buruk secara ikhlas. Ilmu fardu ‘ain ini diwajibkan kepada setiap Muslim sama ada mereka itu orang alim atau jahil, pemimpin, raja dan rakyat, ketua, pengarah, pengikut, majikan, pekerja dan lain-lain.
Pencegahan melalui fardu kifayah pula adalah untuk mencegah secara umum dan khusus mengikut kemampuan, dinyatakan firman Allah SWT:
﴿وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ١٠٤﴾
“Dan hendaklah ada antara kamu satu golongan umat yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat kepada yang ma‘ruf (yang baik), serta mencegah daripada segala yang mungkar (yang haram). Dan merekalah orang-orang yang mendapat kejayaan.” (Surah Ali ‘Imran: 104)
Melalui ayat di atas, Allah SWT mewajibkan adanya politik dan kuasa bagi pemerintah negara yang berdaulat, pemantau dan penguatkuasa yang kuat, khususnya bagi mencegah kemungkaran. Rasulullah SAW telah menyenaraikan peranan setiap individu di semua peringkat sebagaimana sabdanya:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ.
“Sesiapa dalam kalangan kamu melihat perkara yang mungkar (kejahatan) hendaklah mengubahnya (mencegah) dengan tangan (kuasa), jika tidak mampu mencegah dengan lidahnya dan jika tidak mampu mencegahnya juga, maka hendaklah membenci dengan hatinya, itulah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim 49)
Pembahagian kewajipan terbahagi kepada dua bahagian iaitu fardu ‘ain dan fardu kifayah.
Perkara fardu ‘ain itu wajib ke atas setiap orang, sekurang-kurangnya benci kepada perkara yang haram, dan dianggap sebagai tahap keimanan paling lemah. Jika benci sekalipun tidak menandakan tiada imannya. Pendekatan ini berkaitan dengan pembangunan insan.
Berikutnya pencegahan dengan lisan dan tulisan. Pendekatan yang paling kuat ialah penguatkuasaan undang-undang melalui tindakan dan hukuman.
Setiap satu itu saling berkaitan, laksana mata rantai yang tidak putus dan diikat dengan Islam yang sempurna berlandaskan aqidah, syariat, akhlak dan ‘nizam’ (sistem). Bermula daripada pembangunan insan mengikut acuan Allah SWT yang sempurna sehinggalah ke peringkat berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.
Kegagalan menangani rasuah kerana mata rantai ini diputuskan oleh konsep sekularisme Barat yang memutuskan setiap urusan kehidupan manusia dengan agama.
Guru agama sahaja yang disuruh bercakap berkenaan hukum haram bagi rasuah dari segi agama. Sedangkan sistem pendidikan, jabatan, undang-undang dan kehakiman terpisah daripada agama. Maka kegagalan mencegah rasuah itu janganlah disalahkan Islam, tetapi kesalahannya kerana meninggalkan Islam yang sempurna.
Seorang yang sebenarnya berpendidikan Islam menyedari bahawa kesalahan rasuah bukan sahaja dari segi undang-undang, bahkan juga berdosa dari segi agama.
Walaupun dirinya terlepas daripada tindakan undang-undang di dunia, tetapi dirinya tidak selamat daripada azab neraka selepas meninggal dunia pada Hari Akhirat kelak. Mereka akan dihadapkan ke mahkamah Allah SWT pada Hari Kiamat dengan saksi dirinya sendiri, para malaikat dan suratan amalnya.
Firman Allah SWT:
﴿الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَى أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ٦٥﴾
“Pada hari ini Kami menutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami (memberikan peluang kepada) tangan-tangan mereka (akan kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.” (Surah Yaasin: 65)
Malaikat itu tidak hanya menunggu di pintu masjid, tetapi berada di mana-mana sahaja seseorang itu berada dan melaksanakan urusan mencatat semua amalan baik dan jahat yang dilakukan oleh manusia.
Akan tetapi, sekiranya agama itu hanya di tikar sembahyang dan masjid sahaja, maka rasuah di luar masjid boleh digantikan dengan kerap kali menunaikan haji dan umrah menggunakan duit rasuah yang banyak. Termasuklah boleh membina masjid dengan duit haram dan perkara yang lain.
Pendidikan Islam mengingatkan bahawa Allah SWT tidak menerima kebajikan dengan duit haram tanpa taubat atau dihukum dengan syariat Islam, kerana firman Allah SWT:
﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنْفِقُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُمْ مِنَ الْأَرْضِ وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنْفِقُونَ وَلَسْتُمْ بِآخِذِيهِ إِلَّا أَنْ تُغْمِضُوا فِيهِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ٢٦٧﴾
“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kalian yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kalian. Dan janganlah kalian sengaja memilih yang buruk (haram) daripadanya (lalu kalian mendermakan atau kalian jadikan pemberian zakat), padahal kalian sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kalian), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, bahawa sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji. (Surah al-Baqarah: 267)
Adapun kesalahan rasuah dari sudut syariat termasuk dalam kesalahan takzir dengan dikenakan hukuman dera yang mendidik pesalah dan masyarakat. Hukuman dijatuhkan dengan kadar mengikut ukuran kesalahannya yang berbeza dan mengikut ijtihad pemerintah dan ahli perundangan yang beriman serta budiman.
Hukuman yang dikenakan seperti sebatan yang memalukan dan tidak mencederakan jasad. Bukanlah hanya dikenakan denda yang boleh dibayar dengan duit rasuah dan mempunyai lebihan untung yang banyak lagi mengikut pandangan mata mereka tanpa perhitungan rohani tentang soal dosa. Malang lagi jika pesalah rasuah pula mendapat kedudukan penjara VIP. Maka undang-undang sedemikian tidak menggambarkan kehebatan yang disebutkan oleh al-Quran melalui firman Allah SWT:
﴿فَجَعَلْنَاهَا نَكَالًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهَا وَمَا خَلْفَهَا وَمَوْعِظَةً لِلْمُتَّقِينَ٦٦﴾
“Maka Kami jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman yang mencegah pada masa itu dan mereka yang datang kemudian, serta menjadi pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.” (Surah al-Baqarah: 66)
Hukuman dengan maksud tindakan yang mendidik penjenayah, bakal penjenayah dan masyarakat umum. Aspek spiritual yang wujud dalam undang-undang Islam membezakannya dengan undang-undang ciptaan manusia. Di samping sistem kehakiman Islam yang adil secara mutlak.
Takrif rasuah juga hendaklah dikaji dari sudut pandangan Islam yang sebenar, dengan tidak meletakkan makna rasuah sekiranya sumbangan kepada pihak yang sebenarnya memang memerlukan bantuan dan sumbangan. Golongan yang menerima sumbangan sama ada individu atau masyarakat umum, bukan untuk tujuan peribadi dan kalangan tertentu sahaja.
Maka tiada orang yang akan menjadi mangsa akibat kesalahan daripada tindakan undang-undang yang dizalimi, bukan kerana kesalahannya mengikut hukum Allah SWT. Pada masa yang sama, perlu diambil kira dari segi ekonomi pendapatan atau gaji yang cukup bagi keperluan diri dan keluarga.
Sekiranya mahu mencegah wabak penyakit seperti taun dan Covid-19, maka hendaklah dicegah dengan tindakan yang sempurna dan menyeluruh. Bermula daripada kempen kefahaman dan kesedaran akan ancaman bahaya penyakit tersebut, sehinggalah dilakukan pencegahan dengan vaksin dan ubat, dilakukan langkah kuarantin dan tindakan undang-undang.
Maka kerja pecegahan menjadi sia-sia kalau sekadar kempen sahaja, tanpa pencegahan, tidak ada vaksin dan ubat, tiada langkah kuarantin dan tiada tindakan undang-undang. Laksana melawan penyakit wabak denggi dengan sekadar berkempen, tanpa ubat dan membiarkan tempat pembiakan nyamuk berleluasa atau sekadar membeli ubat nyamuk sahaja.
Jenayah rasuah merosakkan diri manusia dan kehidupan mereka sehinggalah alam sekitar yang memerintah dengan nafsu meluluskan segala projek yang merosakkan.
Percayalah bahawa Allah SWT Tuhan Pencipta Manusia yang Maha Mengetahui berkenaan manusia dan memberi petunjuk dalam semua perkara dengan rahmat-Nya yang melimpah ruah.
Malangnya manusia makhluk yang lemah ini, meninggalkan petunjuk Allah SWT dan mencipta sendiri aturan dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah SWT. Lalu ia merosakkan diri sendiri, namun Allah yang Maha Pengampun terus memberikan peluang supaya mereka kembali ke pangkal jalan yang betul.
Allah SWT berfirman:
﴿ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ٤١﴾
“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah al-Rum: 41)
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 19 Jumadal Akhirah 1442 / 2 Februari 2021