Rasionalkah subsidi bersasar dilakukan ? -Muhyiddin
CABARAN semasa yang paling getir buat negara ialah untuk mengekalkan ekonomi berdaya tahan dalam tempoh setahun dua ini, dan lebih baik daripada keadaan sebelum pandemik.
Menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), pertumbuhan ekonomi global dijangka kekal lemah, iaitu berkembang hanya sekitar 2.7% pada 2024 berbanding 3.0% pada 2023.
Menurut Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin, belanjawan 2024 tidak menyatakan langkah-langkah yang akan diambil kerajaan bagi memastikan setiap aspek perbelanjaan dibuat secara berhemat di samping memperkukuh kemampuan kewangan negara.
Mengulas mengenai subsidi bersasar yang bakal dilakukan, Muhyiddin meminta kerajaan menjelaskan mekanisme apakah yang bakal digunakan.
”Bagaimana kerajaan hendak menentukan golongan pendapatan manakah yang masih dapat menikmati subsidi dan golongan mana yang tidak lagi menikmatinya apabila langkah rasionalisasi subsidi dilaksanakan?
”Adakahkerajaan akan menggunakan kategori kumpulan pendapatan B40, M40 dan T20 sebagai asas penentuan atau terdapat formula baharu untuk menentukan siapa yang dapat dan siapa yang tidak dapat menikmati subsidi?,” tanya beliau.
Menurut beliau klasifikasi itu sangat penting kerana tekanan kos tekanan hidup setiap golongan adalah berbeza. M40 yang hidup di bandar mungkin mengalami tekanan kos sama seperti golongan B40.
“Perbelanjaan golongan M40 tidak boleh disifatkan sebagai golongan berada. Malah pendapatan mereka juga dikenakan cukai,” tambahnya.
Beliau juga mempersoalkan bagaimana subsidi bersasar dapat dikawal tanpa berlaku sebarang ketirisan di stesen minyak.
“Adakah suatu kajian menyeluruh telah dibuat untuk menilai kesan pelaksanaan rasionalisasi subsidi kepada rakyat dan ekonomi negara?
”Walaupun kita boleh bersetuju rasionalisasi subsidi dilaksanakan untuk memperkukuh kedudukan fiskal kerajaan, namun pelaksanaan langkah tersebut mesti dipastikan tidak menambah beban yang ditanggung oleh rakyat,” ujar beliau.
Muhyiddin berharap, kaedah pemantauan dan penilaian subsidi secara lebih menyeluruh hendaklah diwujudkan bagi menilai keberkesanannya dan memastikan harga barangan di pasaran tidak meningkat secara mendadak apabila langkah ini dilaksanakan. -SM
Baca : Kerajaan Persekutuan, negeri kukuhkan kerjasama sains, teknologi dan inovasi negara