Bola SepakSukan

Rashford jadi sasaran perkauman di media sosial

MARCUS Rashford telah membalas kata-kata cacian berbaur perkauman yang diterimanya menerusi atas talian selepas Manchester United seri 0-0 dengan Arsenal, Sabtu lalu.

Pemain hadapan United itu menjadi sasaran dalam media sosial tetapi memilih untuk tidak berkongsi mesej tersebut dengan 4 juta pengikutnya di Twitter sebaliknya Rashford berkongsi kritikan balasnya terhadap penghinaan tersebut.

“Kemanusiaan dan media sosial berada pada tahap terburuk. Benar, saya seorang lelaki berkulit hitam dan hidup setiap hari berbangga dengan diri saya.

“Tiada sesiapa atau tiada sesiapa yang perlu memberi komen, ia tidak membuat saya berasa berbeza. Jadi, maaf jika anda mahukan satu reaksi yang keras, anda tidak akan mendapatkannya di sini.

“Saya tidak akan berkongsi tangkap layar. Ia satu perbuatan tidak bertanggungjawab untuk berbuat demikian dan seperti yang anda boleh bayangkan tiada yang asli di dalamnya.

Related Articles

“Saya mempunyai pengikut kanak-kanak dalam kalangan pelbagai warna kulit dan mereka tidak perlu membacanya. Hanya warna-warna yang indah seharusnya kita raikan,” tulis Rashford.

Anak muda berusia 23 tahun itu merupakan pemain terbaru yang menerima penghinaan berbaur perkauman menerusi atas talian setelah beberapa insiden memualkan kerap terjadi sejak kebelakangan ini.

Pada awal minggu lalu, rakan sepasukannya, Anthony Martial dan Axel Tuanzebe menjadi sasaran layanan menjijikkan selepas mereka tewas kepada Sheffield United, Khamis lalu.

Pemain Chelsea, Reece James turut menjadi mangsa perkauman di internet, sementara seorang lelaki berusia 49 tahun telah ditahan oleh Polis West Midlands kerana terbabit dalam insiden diskriminasi ke atas bintang West Brom, Romaine Sawyers.

Rashford kini menjadi amat popular setelah usahanya tanpa mengenal penat lelah pada tahun lalu apabila melancarkan kempen bagi membantu kanak-kanak kurang bernasib baik untuk menerima makanan percuma di sekolah.

Usahanya itu telah melayakkannya menerima anugerah MBE dan menjadi model peranan kepada generasi muda.

Rashford ternyata telah mengambil pendekatan berbeza apabila enggan mengaibkan individu yang menghinanya kepada umum.

Pemain itu sebaliknya lebih selesa berkongsi ucapan terima kasih kepada Arsenal kerana menjadikannya sebagai penghias muka depan program kelab itu untuk perlawanan Sabtu dengan berkongsi ucapan: “Terima kasih Marcus, daripada kami di Arsenal.”

Sebagai maklum balas, Rashford berkata: “Dalam satu berita yang lebih baik, @arsenal terima kasih untuk program sempena perlawanan, ia satu sentuhan yang menarik dan saya amat menghargainya.

“Walaupun, saya berasa lebih baik jika kami membawa pulang tiga mata…”

Pada ketika ini, terdapat peningkatan gesaan untuk platform media sosial seperti Twitter bagi menuntut pengguna mendaftar pengenalan diri mereka agar setiap pemilik yang menyalahgunakan akaun mereka dapat dipertanggungjawabkan.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak (FA) England mengecam tindakan individu yang bertanggungjawab melakukan perbuatan terkutuk tersebut.

“Kami bersatu dalam bola sepak bagi menghalang sebarang tingkah laku penyalahgunaan perkauman. Perbuatan ini tidak boleh diterima di mana-mana bahagian masyarakat.

“Kami akan terus bekerjasama dalam setiap perlawanan, kerajaan dan platform media sosial untuk menyekat semua elemen diskriminasi daripada sukan kami,” kata FA dalam satu kenyataan pada Sabtu. – Mirror – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button