Rantau Asia Pasifik perlu lebih 17,600 pesawat baharu
PERTUMBUHAN trafik 5.3% setahun dan semakin banyak pesawat lama kurang cekap bahan api dihentikan penggunaannya menyaksikan rantau Asia Pasifik memerlukan 17,620 pesawat penumpang dan pengangkut baharu menjelang tahun 2040.
“Hampir 30% daripada jumlah ini akan menggantikan pesawat lama yang kurang cekap bahan api,” kata Airbus, pengeluar pesawat Eropah dalam laporan terbaharunya yang dikeluarkan, semalam.
Ia berkata, di rantau yang menempatkan 55% penduduk dunia, China, India dan negara-negara sedang pesat membangun seperti Vietnam dan Indonesia akan menjadi pemacu utama pertumbuhan di Asia Pasifik.
Laporan itu berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rantau itu akan berkembang pada 3.6% setahun berbanding purata dunia sebanyak 2.5% dan dua kali ganda nilainya menjelang 2040.
Daripada 17,620 pesawat yang mendapat permintaan ketika ini, sebanyak 13,660 adalah dalam kategori kecil seperti pesawat A220 dan A320, katanya.
Ia berkata, bagi kategori jarak sederhana dan panjang, Asia Pasifik akan terus memacu permintaan dengan kira-kira 42% daripada keperluan global.
Secara keseluruhan, ia mencerminkan pertumbuhan kukuh dalam tempoh 20 tahun akan datang, wujud keperluan untuk kira-kira 2,440 pesawat pengangkut, di mana 880 daripadanya adalah pesawat baharu, kata Airbus.
“Kami melihat pemulihan global sedang berlaku dalam trafik udara dan apabila sekatan perjalanan dilonggarkan, rantau Asia-Pasifik akan menjadi salah satu pemacu utamanya semula,” kata Ketua Pegawai Komersial dan Ketua Airbus International, Christian Scherer.
“Kami juga yakin akan berlaku kenaikan semula jumlah trafik di rantau ini dan menjangkakan ia akan mencapai tahap sama seperti tahun 2019 antara tahun 2023 dan 2025,” ujarnya.
Beliau berkata, susulan daripada tumpuan utama terhadap kecekapan dan penerbangan mampan di rantau ini, produk Airbus berada pada kedudukan yang baik. – SM