Agama

Ramadan mengajar kita menilai hidup lebih mendalam – Raja Muda Perlis

KAKI BUKIT 20 Mac – Ramadan mengajar kita untuk menilai kehidupan dengan lebih mendalam. Dalam bulan inilah kita diuji dengan kelaparan dan kehausan, namun di sebalik ujian itu terselit pelajaran yang sangat berharga iaitu nilai kesabaran, ketabahan, dan penghargaan terhadap nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama mengambil kesempatan untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah, memperbanyakkan ibadah, dan memperkukuh hubungan dengan sesama manusia.

Pada masa yang sama marilah kita menjadikan sifat pemurah dan budaya berkongsi rezeki sebagai satu amalan yang berterusan dalam kehidupan seharian. Sumbangan yang diberikan bukan sahaja membantu keperluan fizikal penerima, malah ia juga menjadi simbol kasih sayang dan persaudaraan sesama kita.

Marilah kita juga bersama-sama menghidupkan semangat kebersamaan dan keprihatinan ini, agar masyarakat kita menjadi lebih harmoni, maju, dan diberkati.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Kaki Bukit baru-baru ini.

Program ini bertujuan menyantuni golongan asnaf di Perlis melalui aktiviti berbasikal yang diketuai oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs sendiri dalam mendekati dan membantu masyarakat yang memerlukan.

Inisiatif MAIPs ini juga dapat mengenal pasti keperluan sebenar masyarakat, membolehkan bantuan disampaikan dengan lebih efektif dan tepat sasaran.

Tuanku Raja Muda turut berkenan untuk menyampaikan sumbangan MAIPs berupa wang tunai sebanyak RM700, bantuan Kits MAIPs Peduli dan beras fidyah.

Asnaf yang terpilih pada program kali ini adalah Asion Saad, 76 tahun dari Kampung Melayu, Faizah Md Akib, 68 tahun dari Kampung Aman Batu 16 dan Ahmad Bakar, 89 tahun juga dari kampung yang sama.

Dalam program yang sama Baginda dan semua yang mengiring singgah melawat Gua Kelam iaitu lokasi pelancongan terkenal di negeri ini sejak berdekad yang lalu sebagai tanda sokongan kepada kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.

Seterusnya Baginda turut diiringi sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan meluangkan masa singgah menziarahi penghuni di Rumah Sejahtera Orang-Orang Tua Kaki Bukit dan beramaj mesra menyantuni mereka.

FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button