Rakyat mahu siasatan terhadap kematian bayi di pusat jagaan
KUALA LUMPUR: Kumpulan pengguna menggesa polis menyiasat secara menyeluruh kes kematian pelik kanak-kanak perempuan berusia 15 bulan di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan.
Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Nadzim Johan berkata ini perlu, susulan persoalan yang dibangkitkan keluarga mangsa dan peguam mereka.
Bayi itu, Nour Rania Asyifaa Yuseri dipercayai meninggal dunia selepas kepalanya terjerat dalam buaian kain di pusat jagaan kanak-kanak itu pada 22 Feb lepas.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Seremban, Nanda Maarof dilaporkan berkata, Rania ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah bilik di pusat berkenaan, dalam keadaan kepalanya tergantung di buaian kain dan seluruh badannya di dalam buaian.
Tiga hari lalu, bapa Rania, Yuseri Yusoff membuat laporan polis mengenai kes itu kira-kira 37 hari selepas kematiannya.
Peguam keluarga itu juga mempersoalkan mengapa polis tidak mendapatkan sebarang perintah reman untuk penjaga itu.
“Kita mahu kes ini disiasat sehingga rakyat tidak ada keraguan lagi terhadap kes ini. Pada masa ini, ramai orang mempunyai keraguan dan ini boleh menghakis kepercayaan kepada pihak berkuasa.”
Nanda sebelum ini memberitahu bahawa kertas siasatan telah diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut. Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai siasatan itu.