NasionalNegeri

Raja Puan Muda Perlis kini pemegang PhD bergelar Dr.

KELUARGA Diraja Perlis mencatatkan sejarah yang sangat mengkagumkan apabila Raja Puan Muda, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil secara rasmi pemegang ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pengajian Islam dari Universiti Malaya (UM).

Perkara ini telah diumumkan secara sah oleh Mesyuarat Senat Universiti Malaya (UM) yang bersidang pada 25 Mei lalu.

Sesuai dengan Perlis sebagai negeri ilmu, Raja Puan Muda juga gigih mengejar ilmu apabila menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah sekalipun sibuk dengan tugas rasmi termasuk mengiringi Pemangku Raja, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda menjalan penyelidikan kepada tesis bertajuk “The Importance of Islamic Regal Leadership In Zakat Delivery To The Asnaf In Perlis”.

Pada 21 Oktober lalu, Pemangku Raja Perlis juga berkenan berangkat memberi sokongan kepada baginda yang menjalani Mesyuarat Jawatankuasa Pemeriksa dan Sesi Viva-Voce di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM).

Raja Puan Muda Perlis sebelum ini adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dari La Trobe University, Australia tahun 1992 ini dan kemudiannya menerima Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang pada tahun 2014.

Serentak dengan itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mewakili pengurusan badan ini mengucapkan tahniah dengan penganugerahan Ph.D yang diterima Raja Puan Muda di Facebook (FB) MAIPs.

Manakala Timbalan Yang DiPertua MAIPs, Dr Hazman Hassan juga memuatkan status ucapan tahniah di atas penganugerahan ini terhadap Baginda di status FBnya.

Beliau berkata, pencapaian yang diperoleh Baginda ini tanpa jalan pintas iaitu selepas bertahun-tahun lamanya menjalankan penyelidikan dan menulis tesis di bawah bimbingan para cendekiawan di APIUM.

“Sesungguhnya kurniaan Allah untuk Tuanku Dr ini akan dirakamkan oleh sejarah dan memecahkan rekod pencapaian sebagai sebagai Raja Puan Muda Perlis pertama memiliki PhD,” katanya.

Katanya, Baginda juga selaku Raja Puan Muda yang pertama di antara 9 Kesultanan Melayu di Malaysia yang menyandang gelaran Doktor Falsafah.

“InsyaAllah bakal Raja Perempuan Perlis pertama berijazah kedoktoran dalam Pengajian Islam dan didoakan mudah-mudahan Raja Puan Muda akan lebih berdaya maju dalam membantu mengangkasa pemerintahan Pemangku Raja Perlis dan sukses dalam semua lapangan yang diceburi, serta menjadi contoh teladan cemerlang untuk seluruh rakyat jelata,” kata Hazman.

Tahniah juga dari Suara Merdeka (SM) – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button