Agama

Raja Perlis titah semua pihak laksana aktiviti pembudayaan, penghayatan al-Quran

KANGAR – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyeru agar semua pihak, terutamanya jentera kerajaan Negeri Perlis sama ada pentadbiran atau pendidikan hendaklah merancang dan melaksanakan aktiviti ke arah pembudayaan dan penghayatan isi kandungan Al-Quran supaya ia meresap di setiap peringkat lapisan masyarakat tanpa terkecuali.

Baginda bertitah, agensi-agensi agama, masjid-masjid, sekolah-sekolah hendaklah memainkan peranan aktif dalam mempromosikan pembelajaran dan penghayatan Al-Quran. Kerjasama ini dapat memastikan bahawa pendidikan Al-Quran disediakan dengan sistematik dan menyeluruh, merangkumi semua lapisan masyarakat.

“Saya yakin dengan memberi perhatian dan penekanan sepenuhnya kepada Al-Quran dapat menjadikan rakyat Negeri Perlis mencapai tamadun di bawah lembayung keredaan-Nya kerana sesungguhnya ilmu Al-Quran itu sifatnya sentiasa maju dan berkembang selari dengan peredaran semasa”, titah Baginda lagi.

Demikian titah Tuanku Syed Sirajuddin ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup dan Pengurniaan Hadiah Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Perlis Tahun 1446 Hijrah bersamaan 2025 Masihi yang diadakan di Dewan Warisan Kangar..

Keberangkatan tiba Baginda diiringi sama oleh Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Turut berangkat sama adalah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Majlis ini dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) dan Jabatan Mufti Negeri Perlis (JMNPs).

Tuanku Syed Sirajudin berkenan untuk menyempurnakan simbolik perasmian majlis tersebut dan seterusnya mengurniakan hadiah kepada para pemenang kategori Tilawah Al-Quran (Qari) yang dimenangi oleh Muhammad Anas Abdul Hadi sebagai johan, diikuti naib johan Khalil Khusairi Zainol, manakala tempat ketiga diraih oleh Muhammad A’tif Abdullah.

Tuanku Tengku Fauziah turut berkenan mengurniakan hadiah-hadiah kepada pemenang kategori Qariah. Johan disandang oleh Siti Aishah Md Arif, manakala Nur Adilah Azdi dan Norhusna Mohammad Saleh masing-masing meraih tempat naib johan dan tempat ketiga.

Majlis ini turut menyaksikan pertandingan bagi  kategori Hafazan Al-Quran lelaki yang merangkumi Hafazan Al-Quran 1 hingga 10 Juzuk, Hafazan Al-Quran 1 hingga 20 Juzuk, Hafazan Al-Quran 1 hingga 30 Juzuk dan pengurniaan penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi kategori ini telah disempurnakan oleh Tuanku Raja Perlis.

Manakala bagi kategori Hafazan Al-Quran (Perempuan) 1 hingga 20 Juzuk dan Hafazan Al-Quran (Perempuan) 1 hingga 30 Juzuk, pengurniaan hadiah telah disempurnakan oleh Tuanku Raja Perempuan Perlis.

Tuanku Syed Sirajuddin turut menzahirkan agar program-program komuniti yang melibatkan pembelajaran dan penghayatan Al-Quran hendaklah diperkukuhkan.

Baginda juga berharap aktiviti seperti tadarus, kelas tafsir, dan ceramah agama harus dipergiat dan diperluaskan bagi memperkukuh keimanan dan ketaqwaan masyarakat serta mengukuhkan perpaduan ummah.

FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button