
Raja Perlis, Raja Perempuan Perlis sambut ulang tahun perkahwinan ke-58
MATA AYER 15 Feb. – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid menyambut hari ulangtahun perkahwinan baginda berdua yang ke-58 pada 15hb Februari 2025.
Baginda berdua berkenan berangkat menghadiri satu majlis santapan malam yang diadakan di Mess Pegawai Kanan Markas 30 Briged Infantri Tentera Darat Malaysia di Kem Bukit Cowder, Mata Ayer.
Menyambut keberangkatan tiba Baginda ialah Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia, Brigadier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hj. Hashim.
Turut berangkat sama adalah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta anakanda-anakanda Baginda Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Seluruh rakyat negeri Perlis mempersembahkan ucapan tahniah dan pada masa yang sama memohon keberkatan dari Allah swt agar memperkukuhkan lagi rasa kasih sayang, barakah, kemesraan, kesenangan dan semua kebaikan kepada ikatan perkahwinan baginda berdua.
Juga peliharalah Raja dan Raja Perempuan beserta anakanda-anakanda dan cucunda-cucunda Baginda dengan keadaan sihat dan sejahtera, dikasihi rakyat dan keluarga, kuat iman dan teguh pegangan, serta sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan hidup yang berpanjangan.
Tuanku Raja yang akan menyambut Jubli Perak Penerintahan selama 25 Tahun pada 17 April ini dan Tuanku Raja Perempuan dikurniakan seorang putera, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada 30 Disember 1967, yang kini bergelar Raja Muda Perlis serta seorang puteri, Datuk Seri Hajah Sharifah Fazira Jamalullail iaitu Tengku Puteri Mahkota Perlis yang dilahirkan pada 5 Jun 1973.
Baginda berdua juga mempunyai empat orang cucunda kesayangan iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah seorang usahawan fesyen berkelulusan Sarjana Muda (Bachelor Of Arts – International Politics and Anthropology) daripada The University of Melbourne yang baru sahaja menyambut ulangtahun ke 30 pada 10 Februari lepas dan kini berada di tanah suci mengerjakan umrah, Hajah Sharifah Farah Adriana 23 tahun bertugas dengan sebuah syarikat jenama sukan antarabangsa merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda (Bachelor of Business – Management) dari Royal Melbourne Institute Of Technology (RMIT) University, Melbourne dan peringkat Sarjana pula (Masters Of International Business) dari Monash University Malaysia, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al Haj Jamalullail 15 tahun masih bersekolah dan Puteri Nurlin Syazwani 24 tahun lulusan Diploma Pengurusan Acara (DEV) dari Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) dan pada masa ini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda.
GALERI FOTO