Acara

Raja Perlis puas hati prestasi perbarisan Rejimen Renjer

MATA AYER 17 Okt. – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, Istiadat Perbarisan Pertukaran Panji-Panji Rejimen Batalion Pertama (Istiadat) Dan Batalion Kedua Rejimen Renjer DiRaja (RRD) yang diadakan pada sebelah pagi semalam telah menunjukkan prestasi yang cukup tinggi dan perlu dikekalkan.

Baginda yang juga merangkap Tuanku Kolonel Yang Dipertua Rejimen Renjer Diraja (RRD) itu bertitah, pada tahun hadapan Negeri Perlis dijangka akan sekali lagi menjadi tuan rumah bagi Istiadat Mengarak Panji-Panji Rejimen Ranjer DiRaja dengan penglibatan semua 10 Batalion.

“Beta turut menyeru agar semua pihak untuk sama-sama menjayakan kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025. Jemputlah datang ke Perlis dan melawat ke Kampung Warna Warni, Wang Kelian dan beberapa lokasi utama tumpuan pelancong di negeri ini dan jangan lupa merasai ikan bakar istimewa Kuala Perlis”.

Demikian titah Tuanku Syed Sirajuddin ketika berkenan berangkat menerima undangan menghadiri Majlis Santapan Malam Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-81 di Dewan Serbaguna Markas 30 Briged Tentera Darat Malaysia di Kem Bukit Cowder, Mata Ayer.

Keberangkatan tiba Baginda diiringi oleh Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Mejar (K) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri, Pengerusi Rejimen Renjer Diraja (RRD), Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab, Panglima Divisyen Kedua Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Hj. Fazal Hj. Abdul Rahman serta Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia, Brigadier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hj. Hashim.

Majlis santapan itu turut dianjurkan sempena Istiadat Perbarisan Pertukaran Panji-Panji Rejimen Batalion Pertama Dan Batalion Kedua Rejimen Renjer DiRaja. Seramai sekitar 500 orang tetamu yang melibatkan pegawai-pegawai RRD serta Kor Polis Tentera DiRaja Malaysia bersama pasangan masing-masing hadir.

Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan untuk menyempurnakan upacara memotong kek Ulang Tahun Keputeraan Baginda dan disaksikan oleh para tetamu yang hadir.

Majlis pada malam itu diserikan lagi dengan pelbagai persembahan istimewa daripada kalangan Pegawai Rejimen Renjer DiRaja dan Kor Polis Tentera Diraja Malaysia.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button