Nasional

Raja Perlis dan Raja Muda solat Aidiladha di kawasan lapang Istana Arau

Pada pagi tadi bermula jam 8, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail diiringi Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha di ‘lapangan’ iaitu di Dataran Istiadat Istana Arau bersama anak-anak kariah Kota DiRaja Arau.

Kutbah disampaikan oleh Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin manakala solat pula diimamkan oleh Imam Besar Negeri, Ustaz Ahmad Sirajuddin Abdul Satar.

Dalam pada itu, menurut kenyataan Istana Arau, Tuanku Raja dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah bt Almarhum Tengku Abdul Rashid menitahkan ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha kepada seluruh rakyat negeri Perlis yang dikasihi, semua kerabat DiRaja serta rakan taulan di mana sahaja mereka berada.

‘Didoakan agar segala pengorbanan kita diterima oleh Allah SWT, Insya-Allah’.

Baginda berdua juga mengajak semua untuk terus menerus mendoakan semoga pandemik Covid-19 ini akan segera dapat di atasi, seluruh rakyat sentiasa dikurniakan kesejahteraan dan perlindungan keselamatan oleh Allah SWT dan pada masa yang sama memastikan segala SOP yang ditetapkan dipatuhi dengan sebaik mungkin”.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Sirajuddin dan Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menitahkan ucapan penghargaan dan berbanyak terima kasih kepada semua yang mempersembahkan ucapan Aidiladha kepada baginda berdua seisi keluarga melalui pelbagai medium yang tidak dapat dijawab dan juga dibalas satu persatu.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button