
Raja Muda Perlis zahir galakan umat Islam bersedekah, zakat dan wakaf sepanjang Ramadan
HAT YAI 23 Mac – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan galakan kepada seluruh umat Islam agar memperbanyakkan amalan sedekah, zakat dan wakaf sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.
Seiring dengan titah dan aspirasi Baginda, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Hj Mohd Nazim Mohd Noor menyeru umat Islam supaya memanfaatkan bulan suci ini sebagai platform untuk menyemai budaya memberi dan membantu mereka yang memerlukan, khususnya dalam kalangan asnaf.
“Ramadan adalah bulan yang paling utama untuk umat Islam mempertingkatkan amal kebajikan. Bersedekah, menunaikan zakat dan berwakaf bukan sahaja membantu masyarakat yang memerlukan, malah ia turut menyucikan jiwa dan harta kita. MAIPs sentiasa komited untuk menyampaikan amanah ini dengan penuh integriti,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian menurut kenyataan MAIPs sempena lawatan rombongan tanggungjawab Sosial Masyarakat yang diketuai oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra ke Maahad Tahfiz Al-Quran Darul-Uloom, Hat Yai, Thailand bagi menyampaikan sumbangan tanggungjawab sosial sempena bulan Ramadan pada tahun ini.
Mengiringi Baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta Paduka Anakanda kedua Baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Dalam majlis tersebut, sumbangan fi sabilillah berjumlah RM5,000 telah disampaikan MAIPs kepada Maahad Tahfiz Al-Quran Darul-Uloom tersebut yang mempunyai seramai 47 orang pelajar pada ketika ini sebagai sokongan kepada pembangunan pendidikan dan kebajikan pelajarnya.
FOTO