Agama

Raja Muda Perlis titah Universiti Muhammadiyah laksana kajian untuk manfaat serantau

KANGAR 21 Mac – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ‘Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM)’ perlu berperanan sebagai penghubung yang berkesan dalam kolaborasi sebagai Pusat Penyelidikan antara universiti di Indonesia dan Malaysia serta memainkan peranan yang penting dalam melaksanakan pelbagai kajian yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara di rantau ini”.

“Selain itu, UMAM diharap akan dapat meningkatkan prestasinya dengan mewujudkan rangkaian cendekiawan global yang berdaya saing, berupaya melahirkan graduan berkepakaran dalam bidang berkaitan, serta memiliki keperibadian ulul albab yang unggul’.

“UMAM juga perlu merealisasikan pusat kecemerlangan pendidikan dan penyelidikan melalui kerjasama erat bersama ilmuan dari dunia Islam yang maju, bagi memperkukuh daya intelektual dan inovasi universiti ini”, titah Baginda.

Tuanku Raja Muda menambah bahawa UMAM juga perlu memainkan peranan sebagai pusat pendidikan hebat yang mampu menghasilkan graduan berkualiti tinggi, berwibawa dan berperanan aktif dalam mengembangkan Islam yang progresif serta relevan dalam arus perdana global.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Santunan Kasih Ramadan UMAM anjuran universiti tersebut yang berlangsung di Hotel Seri Malaysia, Persiaran Wawasan, Kangar.

Keberangkatan tiba Baginda diiringi sama oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan disambut oleh Naib Canselor UMAM, Dr. H. Saidul Amin MA, Lembaga Pengarah UMAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin serta pengurusan tertinggi UMAM.

Turut hadir sama adalah Pengerusi Muhammadiyah dari Jambi, Medan dan juga Riau, Indonesia serta enam orang Rektor dari empat buah provinsi di Indonesia.

Baginda berdua berkenan menyempurnakan simbolik perasmian majlis serta menyaksikan penyampaian sumbangan oleh UMAM, disampaikan oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin, kepada 15 anak-anak asnaf yang terpilih.

Sebagai rekod, Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) adalah sebuah institusi pendidikan tinggi yang terletak di Padang Besar, Perlis yang telah ditubuhkan oleh organisasi Muhammadiyah dari Indonesia yang terkenal dengan inisiatif-inisiatif pendidikannya.

FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button