BeritaPendidikan

Raja Muda Perlis titah supaya perokok tinggalkan tabiat merugikan diri

Tabiat merokok terbukti membahayakan kesihatan dan merugikan ekonomi orang yang ketagih dengan tabiat merokok. Maka, berhentilah merokok.

Merokok berkait secara terus dengan pelbagai masalah kesihatan seperti penyakit saluran pernafasan, barah paru-paru, payudara, hidung, tekak, mulut, saluran makanan, sakit jantung, ulser perut dan angin ahmar.

Merokok juga menyebabkan seseorang itu mengalami ketagihan atau‘gian’ dan sukar untuk berhenti.

Demikian titah perutusan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis sempena kempen ‘Perlis Hebat – Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan’ bagi sama-sama memberi sokongan dalam menjayakan kempen berterusan ‘Tak Nak Merokok’ yang dianjurkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.

Pada masa yang sama Tuanku Raja Muda turut menasihatkan kepada seluruh masyarakat khususnya golongan remaja supaya jangan sekali-kali cuba memulakan tabiat merokok yang merugikan ini. Para ibu bapa juga diingatkan agar mengawasi anak-anak mereka supaya tidak memulakan tabiat buruk merokok.

Menurut Dr Sirajuddin Hashim, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, penggunaan tembakau di dunia membunuh hampir separuh daripada penggunanya. Ianya membunuh hampir 8 juta orang setiap tahun akibat komplikasi tabiat merokok (WHO Tobacco Fact Sheet 2020).

Menurut Tinjauan Kebangsaan dan Morbiditi (NHMS 2019), sebanyak 21% rakyat Malaysia yang berusia 15 tahun dan ke atas menggunakan rokok tembakau, manakala 5% daripada perokok menggunakan rokok elektronik. Kajian yang sama mendapati bahawa, sebanyak 20.6% atau 1 daripada 5 rakyat di Perlis adalah perokok.

Beliau juga turut mengetengahkan hasil kajian yang dijalankan oleh KKM dan Institut Kesihatan Negara (NIH) dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) terhadap 5,889 pesakit Covid-19 yang dirawat di semua hospital seluruh negara pada 1 Februari hingga 31 Mei 2020.

Berdasarkan kajian yang dilakukan, perokok yang dijangkiti Covid-19 juga mempunyai risiko hampir dua kali ganda lebih tinggi untuk mendapat komplikasi seperti gangguan pernafasan, kerosakan buah pinggang dan kerosakan hati. Selain itu, perokok yang dijangkiti Covid-19 juga mempunyai tahap keterukan jangkitan lebih tinggi berbanding golongan bukan perokok.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button