Nasional

Raja Muda Perlis titah agensi kerajaan, komuniti bekerjasama banteras malaria

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap penglibatan komuniti dan agensi lain dalam pencegahan penyakit malaria dapat terus dipertingkatkan.

Masyarakat hendaklah mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti memakai pakaian yang melindungi keseluruhan badan daripada gigitan nyamuk dan menggunakan repelan jika terlibat dengan sebarang aktiviti berisiko di hutan seperti memburu dan menjalani aktiviti rekreasi.

Pihak industri di lokaliti berisiko terutamanya yang mempunyai pekerja warganegara asing pula perlu memastikan pekerja mereka disaring dan sentiasa dilindungi daripada gigitan nyamuk dengan membekalkan kelambu berubat dan melaksanakan aktiviti pencegahan malaria yang lain seperti semburan racun residual.

Rawatan segera di klinik atau hospital berdekatan juga perlulah diusahakan sekiranya mengalami gejala malaria seperti demam, sejuk menggigil, berpeluh dan lemah tubuh badan.

Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat menghadiri program “Zero Malaria – Draw the Line Against Malaria” anjuran bersama oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan rakan strategiknya Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dalam program yang disekalikan dengan aktiviti ‘MAIPs Peduli’ bilangan ke 30 bagi tahun 2021 yang bermula dan berakhir di Dewan Syed Faizuddin Putra Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis, Kompleks Islam Perlis Kangar baru-baru ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Selain singgah di dua buah rumah asnaf terpilih yang terletak di Taman Datuk Jaafar dan Kg Padang Nyaring dekat Kangar bagi menyerahkan bantuan agihan zakat MAIPs, baginda dan para peserta lain turut singgah bagi menyerahkan pek makanan Kentucky Fried Chicken (KFC) sebagai juadah bersahur yang disumbangkan oleh bekas Pengarah Urusan QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands) Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil melalui MAIPs kepada para penghuni di Rumah Teduh Kangar, 10 buah lot rumah dalam kejiranan Jalan Raja Muda dan juga kiriman kepada Pertubuhan Rumah Anak Yatim Mak Teh Perlis.

Baginda turut berkenan singgah di Kangar Street Art 2.0 serta Bazar Aidilfitri Taman Sena Kangar sebelum program berakhir.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim memaklumkan bahawa ‘Hari Malaria Sedunia’ disambut setiap tahun pada 25 April di seluruh dunia bagi menyatakan komitmen berterusan untuk pencegahan dan kawalan penyakit malaria.

Terang beliau, Malaysia telah berjaya mengekalkan status sifar malaria manusia jangkitan tempatan (indigenous) sejak tahun 2018 lagi. Kejayaan kekal sifar untuk tiga tahun berturut-turut akan melayakkan Malaysia mendapatkan Pensijilan Eliminasi Malaria manusia jangkitan tempatan (indigenous) daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun ini. Malah, negeri Perlis telah mencatatkan kes malaria manusia jangkitan tempatan (indigenous) yang terakhir pada tahun 1994. Perlis melaporkan satu malaria import luar negara pada tahun 2017 dan satu malaria zoonotik yang berpunca dari monyet pada tahun 2018. Tiada kes malaria dilaporkan di negeri Perlis pada tahun 2019 sehingga kini.

Tambah Sirajuddin lagi, langkah-langkah kawalan dan pencegahan terus dilakukan dengan mengamalkan norma baharu bagi memastikan kejayaan sifar malaria manusia jangkitan tempatan (indigenous) dapat dikekalkan walaupun dalam tempoh pandemik COVID-19. Aktiviti semburan racun residual dilakukan ke atas premis di lokaliti berisiko seperti rumah-rumah kongsi dan kem-kem di pinggir hutan. Pengedaran kelambu berubat dilakukan dari rumah ke rumah bagi mengelakkan perhimpunan dan mengekalkan penjarakan sosial. Di samping itu, bekalan peralatan untuk diagnosa dan ubat-ubatan malaria dipastikan tidak terjejas. Saringan malaria dalam kalangan kumpulan berisiko juga masih diteruskan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button