
Raja Muda Perlis tekankan sahsiah seimbang dalam pendidikan
KANGAR – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menegaskan bahawa pendidikan bukan sahaja mengenai ilmu yang diterima, tetapi juga mengenai pembentukan sahsiah murid yang seimbang.
Baginda bertitah, kejayaan dalam pendidikan akan membentuk rakyat yang berkualiti, yang bukan sahaja mampu menghadapi cabaran dunia digital, tetapi juga menjadi rakyat yang cemerlang dalam masyarakat, yang membawa kemajuan kepada negeri dan negara.
“Saya komited untuk memastikan bahawa segala usaha yang dilakukan melalui program ini bukan sahaja memberi impak positif kepada pencapaian akademik, tetapi juga kepada kesejahteraan dan kebajikan rakyat. Konsep “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada” adalah pegangan saya dalam memastikan kesejahteraan rakyat Perlis.”, titah Baginda.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Peluncuran Jamalullail LeADS In Digital School (JLiDS) Peringkat Negeri Perlis 2025 di Kangar.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Pengarah Pendidikan Negeri, Rose Aza Che Arifin dan Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus.
Majlis ini telah dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Konsortium Persatuan Kebudayaan Han Malaysia, yang terdiri daripada Han Culture (M) Sdn Bhd, Syarikat Akademik Pendigitalan dan ViewSonic Malaysia.
Program Jamalullail LeADS in Digital School ini bertujuan meningkatkan akses kepada pendidikan digital selaras dengan Dasar Pendidikan Digital negara. Hasil daripada inisiatif program ini sebanyak 74 buah sekolah rendah serta sebuah sekolah dalam hospital di negeri Perlis akan menerima ‘smartboard’ dan peralatan teknologi terkini.
Fadhlina Sidek yakin dan percaya, dengan bantuan peralatan teknologi ini, guru-guru dapat meningkatkan kualiti kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam suasana yang lebih dinamik. Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan menggunakan teknologi yang terkini menjadi platform terbaik kepada murid untuk meneroka dunia digital yang semakin berkembang pesat.
Menteri Pendidikan itu juga menyeru kepada pihak sekolah yang terlibat dengan program ini agar memanfaatkan sepenuhnya penggunaan ‘smartboard’ dan perisian yang telah dibekalkan untuk meningkatkan lagi kualiti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
“Negeri Perlis sememangnya sangat bertuah kerana Tuanku Raja Muda Perlis sentiasa memberi sokongan penuh ke arah akses pendidikan yang berkualiti, berinovasi serta berdaya saing. Keprihatinan dan sokongan daripada Baginda menjadi pemangkin kepada kejayaan program ini”, tambah beliau lagi.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Pengerusi YTSP Perlis turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian dan menyaksikan penyerahan cek bernilai RM350,000 kepada YTSP Perlis, serta Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara YTSP Perlis, Persatuan Kebudayaan Han Malaysia dan Akademi Pendigitalan Digital.
Antara penyumbang yang hadir ibagi menyerahkan mock cek kepada Datuk Johari yang menerima bagi pihak YTSP Perlis adalah
Dr Eric Wu Bao Feng – RM300,000, Chaw Foo Hong – RM15,000, Zhang Zhenguang – RM10,000,
Chee Kong Yong – RM5,000, Choong Wai Meng – RM5,000 dan Hor Jun Hin – RM5,000.
Baginda berharap program ini akan terus memperkasa pendidikan di Perlis dan memberikan manfaat besar kepada anak-anak negeri.
FOTO