Berita

Raja Muda Perlis saran rakyat bersama bendung penyebaran penyakit tibi

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan supaya
bersempena ‘Sambutan Hari Tibi Sedunia’ yang disambut pada setiap 24 Mac, adalah diharapkan agar pengetahuan dan kesedaran rakyat negeri Perlis berkaitan penyakit tibi dapat dipertingkatkan dan secara tidak langsung ini dapat membendung penyebaran penyakit tibi di kalangan rakyat.

Baginda menyarankan agar rakyat Perlis segera mendapatkan rawatan di klinik-klinik kesihatan yang berhampiran sekiranya mempunyai tanda-tanda penyakit tibi, menjalani saringan penyakit tibi di klinik-klinik kesihatan yang berhampiran sekiranya tergolong di dalam golongan yang berisiko tinggi mendapat jangkitan penyakit tibi serta mengamalkan kebersihan diri dan etika batuk yang baik seperti menutup mulut ketika batuk dan mencuci tangan selepas batuk. Ini bukan sahaja dapat membantu mencegah penularan penyakit tibi etapi juga penyakit-penyakit lain antaranya Covid19.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas selesai berkenan berangkat meninjau status kemajuan terkini kerja-kerja mengecat di laluan 3, 4 dan 5 bagi program transformasi secara berfasa yang dilaksanakan di Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis atas inisiatif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis bersama-sama dengan pejabat Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Perlis dan pelbagai agensi negeri dan juga Persekutuan, ATM serta swasta dan orangramai yang dijadualkan siap sebelum penghujung bulan ini.

Keberangkatan baginda dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ssrta anakanda sulung, Sharifah Khatreena Nuraniah diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor serta kepimpinan masyarakat setempat kampung berkenaan.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Dr Sirajuddin Hashim memaklumkan bahawa, ‘Penyakit tibi adalah antara penyakit berjangkit utama di Malaysia. Meskipun kini kita berdepan dengan pandemik Covid 19 di seluruh dunia, namun begitu penyakit tibi masih lagi menjadi ancaman utama kepada seluruh rakyat Malaysia. Penyakit tibi mencatatkan peningkatan kes saban tahun di seluruh Malaysia secara amnya iaitu sebanyak 25,838 kes dengan kadar insiden sebanyak 78.62 per 100,000 penduduk pada tahun 2019; dan begitu juga dengan negeri Perlis iaitu terdapat peningkatan sebanyak 16% pada tahun 2019 dengan bilangan kes sebanyak 156 dan kadar insiden sebanyak 59.6 per 100,000 penduduk.

Tambah Sirajuddin lagi, ‘Penyakit tibi adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh kuman Mycobacterium Tuberculosis. Kuman ini boleh merebak melalui udara dan sering menyerang bahagian paru-paru. Apabila seseorang yang dijangkiti kuman Tibi batuk atau bersin, individu lain yang berada berhampiran beliau juga mempunyai risiko untuk dijangkiti kuman tibi’.

‘Tanda-tanda utama penyakit tibi adalah batuk berpanjangan melebihi dua minggu, batuk berdarah, demam berpanjangan terutamanya sebelah malam, kurang selera makan dan susut berat badan. Penyakit tibi adalah penyakit yang boleh dirawat sehingga sembuh, namun begitu ia juga boleh membawa maut sekiranya lambat mendapatkan rawatan. Selain daripada itu,
‘Penyakit tibi juga adalah lebih mudah menyerang golongan-golongan tertentu yang berisiko tinggi antaranya adalah kontak rapat kepada pesakit tibi, pesakit kencing manis, perokok, golongan warga emas, pesakit HIV, pesakit end stage renal failure, pesakit chronic obstructive airway disease, klienmethadone dan pesakit yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan substans’ jelas beliau.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button