RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan beramah mesra dengan penduduk Kampung Chroy Metrey semasa berangkat melakukan perasmian Masjid Ibadurrahman di Phnom Penh, Kemboja.
Pembinaan masjid berkenaan telah disumbangkan oleh Pertubuhan Glokal Ihsan Malaysia dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di kawasan berkenaan baru-baru ini.
Keberangkatan Baginda disambut meriah oleh penduduk setempat dari kanak-kanak mahupun dewasa yang kebanyakannnya warga asnaf yang memerlukan bantuan kewangan.
Terdahulu itu Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan meluangkan masa melawat dan dipersembahkan taklimat oleh Dr Him Sokrey di Hospital Chroy Metrey Clinic and Maternity berkonsepkan wakaf yang diusahakan oleh Koperasi Muslim Kemboja yang terletak di kampung tersebut.
Baginda juga berkenan mengurniakan sumbangan daripada MAIPs kepada Tabung Bantuan Perubatan Asnaf berjumlah RM6,000.
Raja Muda juga berkenan berangkat ke Sekolah Agama Nurul Iman yang terletak di kampung yang sama.
Setiausaha Kementerian Agama Kemboja, Yob Ahskary yang mengiringi Raja Muda juga mempersembahkan ucapan menjunjung kasih di atas kunjungan Baginda.
Beliau juga memaklumkan bahawa Kerajaan Kemboja amat berterima kasih atas hubungan baik antara masyarakat Muslim Kemboja dengan pihak luar yang sentiasa membantu dan berharap hubungan rapat berkenaan akan dapat diteruskan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pursat, Rofy Othsman pula berkata, masyarakat Muslim Kemboja amat bersyukur atas sumbangan rakyat Malaysia.
“Ia tidak hanya sekadar hubungan dalam misi bantuan dan agama, malah Malaysia juga merupakan rakan kongsi dan pelabur yang mesra di Kemboja,” katanya.
Tambah beliau, komuniti Muslim yang merupakan minoriti di Kemboja sentiasa menjaga hubungan baik dengan masyarakat lain dan berharap kerjasama di masa depan akan dapat diteruskan.
Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim berkata, semua pihak baik rakyat Malaysia mahupun penduduk tempatan di Kemboja yang berkesempatan bersua dengan Raja Muda Perlis amat teruja dapat menyambut Baginda.
“Seluruh warga kerja Kedutaan Malaysia di Phnom Penh juga berbangga menyambut Raja Muda dan rombongan dan dapat bersama-sama melalui pelbagai pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang tempoh keberangkatan Baginda kali ini khususnya bagi mempertingkatkan hubungan dua hala antara rakyat Malaysia dengan Kemboja. – SM