Nasional

Raja Muda Perlis rasmi jubli emas MADA

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan perasmian ‘Sambutan Jubli Emas Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Peringkat Negeri Perlis’ yang diadakan di kawasan sawah berdekatan Sekolah Kebangsaan Ujong Batu pada petang semalam.

Pada kesempatan yang sama baginda menitahkan ucapan tahniah kepada Pengurus Besar serta seluruh warga kerja MADA dan juga peladang-peladang di seluruh Kawasan Muda di atas sambutan 50 tahun penubuhannya pada tanggal 30 Jun 2020 baru-baru ini dengan harapan semoga MADA sebagai ‘Nadi Jelapang Padi Negara’ akan terus unggul.

Semoga Allah Subhanahu Wa Taala membalas dan melipat gandakan pahala, kepada seluruh peladang-peladang yang telah memerah keringat dan bakti, dalam memastikan bekalan beras dapat dinikmati oleh seluruh rakyat di negara Malaysia secara amnya dan negeri Perlis ini secara khususnya.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengurus Besar MADA Datuk Fouzi Ali dan Pengurus Wilayah 1, Zairizal Zainon.

Hadir sama ialah ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan juga Persekutuan serta pihak swasta.

Bersempena majlis tersebut, turut diadakan ialah program kayuhan berbasikal khas yang disekalikan dengan program rutin baginda berupa ‘Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf Bilangan ke 31 bagi tahun 2020’ sejauh 12km yang disertai oleh 50 orang peserta bermula dan berakhir di perkarangan Masjid Kg. Binjal, Utan Aji bagi menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada tiga keluarga asnaf terpilih.

Dalam ucapan alu-aluan beliau, Fouzi memaklumkan bahawa sejak penubuhannya 5 dekad lalu, MADA dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan telah melalui fasa perubahan yang memberangsangkan apabila berlaku peningkatan hasil padi dan kualiti kehidupan peladang. Sebelum penubuhan MADA dianggarkan sebanyak 72% petani berada di bawah paras kemiskinan, namun selepas 50 tahun dengan pelbagai program yang djalankan kadar kemiskinan dapat dikurangkan dibawah paras 1%.

Justeru itu, betapa pentingnya peranan utama yang dimainkan oleh MADA, di dalam mendorong, menggerak serta menyatukan keseluruhan peladang-peladang, dalam satu masyarakat yang dinamis dan progresif bagi mencapai cita-cita penubuhannya. Ianya juga mencetuskan pembangunan pertanian, ekonomi dan sosial di mana akan sentiasa berlaku proses keperluan serta peluang-peluang baru.

Sebelum mengakhiri program, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menamam pokok ros “The Prince” di Aji Heritage Farm (AHF) yang terletak di Kg. Sentang Utan Aji yang merupakan satu lagi destinasi baru agro-pelancongan berupa pusat jualan mempelam harumanis Perlis, Perlis Sunshine, kambing dan juga English Rose menarik milik anak tempatan yang boleh dikunjungi oleh masyarakat negeri ini serta para pengunjung dari luar. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button