Acara

Raja Muda Perlis, Raja Puan Muda Perlis berangkat ke Program Ihya Ramadan anjuran Etiqa Family Takaful

ARAU 22 Mac – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menghadiri Program Ihya Ramadan anjuran Etiqa Family Takaful Berhad di Teratak Rahmat, Bangunan Persatuan Al-Islah Perlis, di Mata Ayer.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Abdul Halim, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Hawariyyun, Al-Ikhwan Rahmattullah.

Dalam majlis penuh makna itu, Etiqa Family Takaful Berhad menyumbangkan sebanyak RM50,000 melalui inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) zakat syarikat kepada rumah kebajikan tersebut.

Menambahkan seri program, Tuanku Raja Muda Perlis turut berkenan menyempurnakan penyerahan peruntukan tahunan MAIPs berjumlah RM120,000 kepada Yang DiPertua Persatuan Al-Islah Perlis, Dr Muhammad Ihsan Idris.

Dilaksanakan juga penyampaian duit raya kepada 60 orang penghuni Teratak Rahmat, menyemarakkan lagi semangat Ramadan yang penuh keberkatan.

Dalam ucapannya, Zafri menzahirkan harapan agar anak-anak penghuni Teratak Rahmat sentiasa berani menghadapi realiti kehidupan, kekal gembira dalam apa jua keadaan serta menjadikan nilai silaturrahim dan hubungan sesama insan sebagai asas kekuatan diri.

“Semoga kehadiran kami hari ini bukan sekadar membawa bantuan, tetapi juga menyuntik semangat dan harapan baharu kepada adik-adik semua,” katanya.

Untuk rekod, Etiqa Family Takaful Berhad telah melaksanakan pelbagai inisiatif CSR korporat selain menunaikan zakat melalui MAIPs. Antaranya termasuk pembinaan enam buah rumah asnaf pada tahun 2024, bantuan kepada komuniti nelayan di Sungai Baru, serta pelaksanaan program tuisyen percuma di beberapa buah sekolah terpilih.

Program ini mencerminkan komitmen berterusan pihak swasta dan institusi agama dalam memperkukuh kebajikan ummah dan mempererat hubungan antara rakyat dan institusi diraja.

FOTO

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button