Raja Muda Perlis pelawa Walta teroka peluang perniagaan
HASIL daripada kerjasama yang dijalinkan antara Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan Walta Centre Of Excellence (WCOE), adalah diharapkan agar pihak Walta Engineering Sdn. Bhd. yang beribu pejabat di Pulau Pinang akan suatu hari nanti dapat mengembangkan pula perusahaan membuat ‘Peranti Perubatannya’ ke negeri Perlis dengan menubuhkan sebuah anak syarikat baharu yang turut memberi tumpuan kepada aspek mematuhi piawaian syariah sebagai nilai tambah kepada produk-produknya.
Walta Engineering Sdn. Bhd. dan jaringan industri rapatnya iaitu PG Medic Sdn. Bhd. juga ditawarkan agar bekerjasama dengan pihak MAIPs sehingga mampu menjadi pemangkin untuk mengembangkan perniagaannya hingga ke peringkat antarabangsa khususnya di kalangan negara-negara Islam.
Jika benar-benar berjaya direalisasikan, maka ianya akan dapat terus membuka lebih banyak lagi peluang pekerjaan baru hatta mampu menjana sumber pendapatan bagi menyara hidup dan meningkatkan taraf ekonomi rakyat negeri Perlis secara amnya berasaskan acuan sendiri.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut hebahan media yang disiarkan oleh pihak MAIPs hari ini sempena ‘Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan Walta Centre Of Excellence (WCOE)’ pada sabtu lepas.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba baginda berdua ke majlis yang diadakan di Plaza WCOE, Batu Kawan Industrial Park, Bandar Cassia, Pulau Pinang itu disambut oleh Penasihat WCOE, Datuk Prof Emeritus Ir Dr Ts Hj Kamarudin Hussin, Pengarah Urusan WCOE Goh Kheng Sneah dan Pengarahnya Thean Lye Ong.
Goh mendatangani bagi pihak WCOE manakala Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor mewakili MAIPs.
Hadir sama di majlis tersebut ialah Mufti Perlis Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) Muhammad Hafeez Abu Seman dan Penolong Rektor (Pembangunan, Korporat & Jaringan Industri) Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) Badrul Hisham Abd Rahman.
Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs lagi, pada asasnya kerjasama antara MAIPs dan WCOE dijalinkan dengan hasrat untuk mencari jalan membantu kalangan asnaf di Perlis untuk terus memperkembangkan lagi peluang mereka bagi menceburi industri teknikal dan vokasional yang kian menjadi sumber utama dalam membentuk dan memacu ekonomi negara dewasa ini. Program ini juga diharap dapat mewujudkan peluang-peluang baru kepada golongan belia Perlis mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan pelajaran di WCOE samada di Perlis atau luar Perlis yang secara tidak langsung mengurangkan lagi isu pengangguran di kalangan belia negeri ini.
Untuk rekod, MAIPs telah menubuhkan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) pada tahun 2013 untuk menjalankan pelbagai program latihan dan penempatan pekerjaan baik di dalam mahupun luar Perlis kepada warga asnaf di negeri ini. – SM