
Raja Muda Perlis ingatkan supaya tidak membazir di sepanjang Ramadan
ARAU 15 Mac – Ramadan adalah bulan pendidik untuk kita bersyukur dan mencari keredhaan daripada Allah SWT.
Oleh itu, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengajak semua umat Islam supaya sentiasalah bersederhana dan jangan membazir. Namun tingkatkan amalan dengan memperbanyakkan sedekah melalui zakat dan sumbangan asas kepada golongan memerlukan serta melibatkan diri dalam program-program kebajikan komuniti sebagai salah satu bentuk penghayatan terhadap konsep ukhuwah dan saling bantu-membantu dalam Islam.
Demikian titah Tuanku Raja Muda Perlis selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Mata Ayer baru-baru ini.
Kayuhan amal bertujuan mengenalpasti asnaf di negeri ini dan menyalurkan bantuan serta mencari jalan penyelesaian yang terbaik bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik ini untuk keluar dari kepompong kemiskinan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs yang turut diiringi sama oleh ketua-ketua agensi Negeri dan Persekutuan berkenan untuk mengurniakan sumbangan kepada asnaf yang terpilih iaitu Soberi Saad, 63 tahun, Rodhiah Osman, 69 tahun dan Puteh Hassan, 73 tahun ketiga-tiganya dari Kampung Gial.
Asnaf yang terpilih pada sesi kali ini menerima sumbangan wang tunai RM700, bantuan Kits MAIPs Peduli dan beras fidyah bagi menampung keperluan harian mereka.