
Raja Muda Perlis ingatkan para pelajar, kejayaan tidak datang bergolek
KANGAR 17 Feb. – “Kejayaan tidak sekali-kali datang bergolek”. Ianya memerlukan sebuah usaha yang gigih, disiplin, keazaman serta pengorbanan yang tinggi. Golongan pelajar di semua peringkat diingatkan bahawa ilmu pengetahuan itu merupakan aset yang begitu berharga dan perlu dicari.
Namun, memiliki ilmu sahaja tidak mencukupi jika tidak disertai dengan akhlak terpuji dan kesedaran untuk turut memberi manfaat kepada orang lain.
Pada masa yang sama, ‘Ingatlah bahawa kejayaan pendidikan memerlukan kerjasama semua pihak termasuklah kerajaan, organisasi, institusi, masyarakat, ibu bapa, dan paling utama pelajar itu sendiri. Marilah kita bersama-sama memastikan setiap anak-anak di negeri Perlis ini mendapat peluang terbaik untuk cemerlang khususnya dalam bidang pelajaran. InsyaAllah’.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut kenyataan MAIPs selepas berkenan berangkat mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Padang Melangit baru-baru ini.
Kayuhan amal dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang diketuai sendiri oleh Tuanku Raja Muda Perlis itu turut disertai oleh ketua-ketua jabatan dan agensi Negeri dan juga Persekutuan serta pada kali ini bersama-sama Timbalan-Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan seluruh negara.
Usaha ini merupakan acara mingguan yang dijalankan oleh pihak MAIPs dengan kerjasama beberapa jabatan dan agensi serta pihak swasta dalam usaha membantu golongan asnaf keluar dari kepompong kemiskinan dan menambah baik kehidupan mereka dan keluarga.
Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua berkenan untuk menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs kepada asnaf yang terpilih pada kali ini iaitu Rusna Hassan, 66 tahun dari Kampung Padang Melangit, Nayan Lahaman, 76 tahun dari kampung yang sama dan Mohamad Rodzi Sarif, 62 tahun pula dari Kampung Raja Conggah.
Para asnaf yang terpilih menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli serta beras fidyah bagi menampung keperluan harian sekeluarga.
Baginda turut berkenan singgah bagi mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abi dan menyempurnakan sumbangan MAIPs berupa mesin basuh dan mesin pengering pakaian yang bernilai RM15,000 yang akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar asrama sekolah tersebut.
GALERI FOTO