Pendidikan

Raja Muda Perlis berkongsi tips dengan bakal calon SPm

22 Oktober 2024.
Kangar.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ‘Setiap calon perlu mempunyai persediaan yang rapi bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajar Malaysia (SPM) yang bakal bermula pada awal bulan Disember ini.’

Antara tips yang Baginda kongsikan adalah jangan terburu-buru atau gopoh dalam menjawab soalan, baca kehendak soalan dengan betul dan membahagikan masa menjawab soalan dengan baik.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program Orientasi Pembelajaran Cemerlang Untuk Pelajar Cemerlang Dan Pengawas Terpilih Sekolah Menengah Negeri Perlis 2024 yang diadakan di Kangar.

Keberangkatan tiba Baginda yang turut diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin dan Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus.

Program ini telah dianjurkan oleh YTSP Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis yang bertujuan untuk memastikan para pelajar terpilih bersedia, memberi motivasi dan ‘tips’ bagi pelajar menjawab dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 ini.

Tuanku Raja Muda juga berharap semua peserta program ini dapat menggunakan sepenuh kesempatan untuk mendapatkan maklumat dan ilmu yang terkini dalam persediaan untuk menghadapi peperiksaan SPM yang sangat penting itu nanti.

Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Pengerusi YTSP Perlis berkenan untuk menyempurnakan pengurniaan sijil penghargaan kepada 35 orang penerima lelaki yang merupakan Fasilitator, Urusetia dan Guru-Guru Pengiring Bengkel Jati Diri 2024.

Tuanku Lailatul Shahreen Akashah pula berkenan menyempurnakan pengurniaan sijil penghargaan kepada 18 orang penerima wanita yang juga merupakan Fasilitator, Urusetia dan Guru-Guru Pengiring bagi bengkel ini.

Tuanku Raja Muda Perlis turut berkenan untuk menyerahkany sumbangan RM5,000 daripada YTSP Perlis dengan kerjasama The Great British Circus kepada Tabung Mangsa Banjir Negeri Perlis melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis yang diwakili oleh Timbalan Pengarahnya, Rusdi Ishak.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button