Nasional

Raja Muda Perlis berkenan merasmikan projek jiwa murni sempena Hari Tentera Darat

Sambutan Hari Tentera Darat yang bertemakan ‘Sinergi Tentera Darat Dan Rakyat: Tunjang Kedaulatan Negara’ amat bertepatan dengan signifikan pelaksanaan ‘Projek Jiwa Murni’ anjuran Briged Ke-30 Infantri Tentera Darat Malaysia yang dilaksanakan di Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis baru-baru ini. Ini juga menunjukkan bahawa warga tentera sentiasa peka dalam usaha-usaha melengkapkan keperluan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat.

Demikian titah Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Projek Jiwa Murni Sempena Hari Tentera Darat Ke-88’ peringkat Markas Briged Ke 30 Infantri Tentera Darat Malaysia yang diadakan di Kampung Seberang Ramai Kuala Perlis.

Keberangkatan tiba baginda yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah disambut oleh Panglima Briged berkenaan, Brigedier Jeneral Mohd Zaki Abu.

Hadir sama ialah Pengarah Urusan Kumpulan WTC Kuala Lumpur, Dato’ Sri Dr. Hj. Irmohizam Ibrahim dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Raja Dato’ Azwane Raja Ariff.

Menurut Tuanku Raja Muda, ‘Dengan kerjasama dari penduduk setempat, ini jelas menunjukkan bahawa hubungan antara masyarakat dan warga tentera adalah baik, malah dapat diperkukuhkan lagi. Usaha yang ditunjukkan ini telah menjadi kesinambungan kepada ‘Projek DiRaja Kg Warna-Warni Program Transformasi Kampung Seberang Ramai Kuala Perlis’.

Tambah baginda lagi, kerjasama di antara agensi-agensi negeri, pihak koporat dan Briged berslogankan “Teguh Perisai” itu menerusi pelbagai inisiatif juga akan memberi manfaat dalam jaringan strategik organisasi dan mobilisasi rakyat. Apabila ditambah pula dengan khidmat sokongan operasi dan pengurusan bencana, kualiti hidup rakyat dan penduduk setempat pasti akan dapat ditingkatkan.

Para hadirin dipersembahkan Tempur Tanpa Senjata di majlis tersebut.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button