Acara

Raja Muda Perlis berkenan berangkat ke program Ramadan Kita anjuran E-Idaman Sdn Bhd

KANGAR – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat ke Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ‘Ramadan Kita’ anjuran E-Idaman Sdn Bhd yang berlangsung di Rumah Anak Yatim Persatuan Kebajikan Anak Yatim Perlis (PKAYPs), di Jejawi dekat Kangar.

Keberangkatan Baginda disambut oleh Yang Dipertua PKAYPs, Najwa Osman.

Sebagai tanda prihatin dan sokongan kepada golongan yatim, E-Idaman menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 bagi membantu urusan pengurusan rumah kebajikan tersebut, selain turut mengagihkan pek Aidilfitri kepada semua 28 orang penghuni rumah tersebut.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian peruntukan tahunan MAIPs berjumlah RM70,000, yang disempurnakan oleh Tuanku Raja Muda Perlis kepada pihak pengurusan PKAYPs sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang untuk menyokong institusi kebajikan di negeri ini.

Dalam ucapan ringkasnya, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada E-Idaman atas sumbangan dan sokongan berterusan dalam memelihara kebajikan anak-anak yatim.

Beliau turut menitipkan nasihat penuh makna kepada para penghuni rumah supaya terus kuat menghadapi kehidupan yang mendatang.

“Anak-anak semua perlu terus bersemangat dan berfikiran positif dalam sebarang keadaan untuk terus berjaya. Jangan sesekali rasa tersisih atau kurang berharga, kerana setiap daripada kalian mempunyai masa depan yang besar jika terus berusaha dan percaya pada diri sendiri,” ujar beliau

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman, Zaki Abdul Aziz berkata program ini merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat dalam memberi kembali kepada masyarakat, khususnya golongan rentan yang memerlukan sokongan moral dan material.

“Kami percaya bahawa keberkatan Ramadan bukan sahaja hadir dalam bentuk ibadah, tetapi juga melalui keikhlasan membantu insan lain. Anak-anak yatim wajar diberi perhatian dan dihargai kerana mereka juga aset masa depan negara,” katanya.

Inisiatif seumpama ini membuktikan bahawa kolaborasi antara sektor korporat, institusi agama dan pertubuhan kebajikan mampu membawa perubahan besar dalam kehidupan insan yang memerlukan. Ramadan bukan sahaja bulan ibadah, tetapi juga masa terbaik untuk menyemai kasih sayang, perpaduan dan semangat kebersamaan dalam masyarakat.

FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button