RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat beramah mesra dengan warga Malaysia di Kemboja dalam Majlis Santapan Malam ‘Liqa Mawaddah’ di Dewan Besar, Rumah Malaysia, Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim dan isteri, Datin Masdiana Mohamad yang menganjurkan majlis tersebut.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang mengetuai delegasi Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, ‘Sebagai rakyat Malaysia tidak kira di mana sahaja kita berada perlu sentiasa bersedia untuk mendepani cabaran global dan mengekalkan hubungan baik bukan sahaja dengan negara-negara di rantau ini, bahkan dengan negara-negara lain yang menyumbang kepada keamanan dan kesejahteraan dunia’.
“Saya juga ingin menyeru agar rakyat Malaysia di Kemboja untuk terus memainkan peranan yang positif, bagi sama-sama membantu negara kita memacu pembangunan yang mampan pada masa hadapan”, titah Baginda lagi.
Sebagai warganegara Malaysia yang telah mengecapi kemodenan dan kemudahan asas lebih awal berbanding penduduk di negara Kemboja, usaha yang mulia dan terpuji semua merupakan aset dan akan sentiasa menjadi kebangaan negara.
Raja Muda turut mengingatkan, selain mengejar matlamat hidup dan mencapai aspirasi negara, Baginda ingin menyarankan agar kita semua sentiasa memberi penekanan yang lebih kepada aspek kesihatan fizikal dan mental yang memberikan impak pada diri dan seluruh sistem kehidupan.
“Jika perkara ini dititikberatkan, inshaAllah kita akan menjadi cerdas dan cergas serta lebih berdaya saing,” titah Baginda.
Pertemuan pada malam ini yang melibatkan sebahagian kecil daripada 6,000 masyarakat Malaysia di negara tersebut membuka wadah untuk lebih memahami peranan dan sumbangan diaspora Malaysia di bumi Kemboja ini, selain saling mengenali antara satu sama lain.
Para tetamu yang hadir juga dijemput untuk melancong ke Perlis bagi memeriahkan lagi Tahun Melawat Perlis 2024-2025 yang akan bermula tidak lama lagi.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Eldeen Husaini dan seluruh warga kerja Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh atas layanan yang baik dipersembahkan sepanjang lawatan berlangsung.
Program diakhiri dengan slot “Bicara Hikmah dan sesi interaksi” perkongsian yang disampaikan oleh Mufti Perlis, Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin. – SM