Acara

Raja Muda Perlis berangkat ketuai kayuhan CSR MJII

BERANANG 14 Okt. – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengetuai program Kayuhan Berbasikal dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dianjurkan oleh MARA-Japan Industrial Institute (MJII) di sekitar Beranang, Selangor sempena Hari Sukan Negara pada ahad.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Zulfikri Osman dan Pengarah MARA-Japan Industrial Institute (MJII), Ts. Dr. Mahazani Ali.

Kayuhan yang bermula dan berakhir di perkarangan MJII itu diserikan lagi dengan penyerahan sumbangan daripada Koperasi Muamalat kepada wakil Masjid Kampung Sesapan Batu Rembau yang disaksikan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Baginda turut menyempurnakan simbolik kenang-kenangan penanaman pokok di masjid tersebut sebelum menyambung berkayuh semula.

Tuanku Raja Muda Perlis turut berkenan mengadakan lawatan di sekitar fasiliti dan kemudahan di sekitar MARA-Japan Industrial Institute (MJII). Baginda juga telah melihat Persembahan Robot Tempur dan juga mengadakan sesi ‘Walkabout’ di Galeri Narita.

Dalam ucapan beliau, Dr. Mahazani memaklumkan bahawa program yang dijalankan ini bukan sahaja bertujuan bagi menyemarakkan lagi jalinan ukhwah melibatkan pengurusan MARA, warga kerja MJII, para pelajar dan masyarakat setempat, malah ianya juga merupakan usaha dalam memperkenalkan dan mempromosikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MARA.

Tambah beliau, ‘Usaha ini juga bagi melahirkan ahli teknologi separa profesional dan usahawan dalam bidang kejuruteraan elektronik bagi memenuhi keperluan industri dan masyarakat di samping menyediakan pelajar dengan pengetahuan industri dan kemahiran praktikal dalam kejuruteraan elektronik dengan kencenderungan terhadap budaya kerja Jepun’.

Terdapat seramai enam orang pelajar dari Perlis sedang melanjutkan pelajaran di situ dan mereka berpeluang mengadap dan beramah mesra serta berfoto kenang-kenangan dengan Tuanku Raja Muda Perlis.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button