Raja Muda Perlis berangkat ke jamuan ringan Himpunan Kenderaan Klasik Malaysia
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Hi-Tea dan Himpunan Kenderaan Klasik Malaysia yang diadakan di Laman Warisan, Bandar Diraja Arau.
Keberangkatan tiba Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengarah Urusan Ummul Travel And Tours Sdn.Bhd., Rizwan Ahamed Badruddin.
Majlis ini telah dianjurkan oleh Ummul Travel And Tours Sdn. Bhd. dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kangar, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Arau dan komuniti serta masyarakat setempat yang tinggal di sekitar Arau.
Rizwan Ahamed dalam ucapan aluannya menyatakan, penganjuran majlis ini bertujuan sebagai platform untuk memperkukuhkan hubungan antara komuniti serta mempromosikan warisan budaya dan kenderaan klasik yang unik, estetika serta nostalgia.
Menurut beliau, majlis ini turut menjadi program pembukaan Tirai Tahun 2025 yang menandakan permulaan usaha yang lebih besar untuk mempromosikan Perlis sempena kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia dan serantau dan berharap agar program ini menjadi pemangkin kepada kejayaan yang lebih cemerlang bagi negeri Perlis.
“Majlis ini turut menjadi lebih istimewa kerana ia berlangsung dalam semangat Sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, menandakan 25 tahun pemerintahan Baginda yang penuh bijaksana dan berjiwa rakyat. Selain itu, acara ini juga diraikan sempena Ulang Tahun Keputeraan DYTM Tuanku Raja Muda Perlis Ke-57”, tambah beliau lagi.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang berangkat dengan membawa sendiri kereta BMW 320i Cabriolet 1990 turut berkenan menyempurnakan simbolik upacara memotong kek sempena Hari Keputeraan Baginda.
Himpunan kenderaan klasik itu diserikan lagi dengan pertandingan bagi Anugerah Kereta Klasik Pilihan (50an dan 60an) yang dimenangi oleh Hj. Ibrahim Said, kenderaan jenis Mercedes Batman, Anugerah Kereta Klasik Pilihan (Kategori 70an dan 80an) dimenangi oleh Datuk Halim Mohamaed, kenderaan jenis Mercedes C114 Coupe dan Anugerah Best of The Best yang dimenangi oleh Hj. Yusof Ali dengan jenis kenderaan Batman 1965.
Majlis pada petang itu mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan penglibatan lebih daripada pemilik 50 buah kenderaan klasik serta peminatnya dari Semenanjung Malaysia termasuklah Terengganu, Kelantan, Johor dan beberapa buah negeri lain serta kelab kenderaan klasik dari negara jiran iaitu Selatan Thailand.