Nasional

Pusat kuarantin khas untuk Orang Asli dibuka

Sebuah Pusat Kuarantin Pesakit Covid-19 (PKRC) khusus untuk masyarakat Orang Asli dibuka di Sekolah Kebangsaan Penderas, Kuala Krau, Pahang.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, PKRC itu mampu menempatkan kira-kira 500 pesakit di asrama sekolah dan kelas yang diubahsuai.

“PKRC di sekolah ini mula dibuka sejak semalam (rabu) dan sekarang telah menempatkan 184 pesakit Covid-19 Orang Asli sekitar Kuala Krau”.

“Kita boleh menempatkan 200 pesakit di asrama dan 300 pesakit lagi kita akan tempatkan di dalam kelas yang diubah suai mengikut keperluan semasa dan situasi Covid-19 dalam kalangan masyarakat Orang Asli di kawasan sini”.

Datuk Seri Mahdzir berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau PKRC Sekolah Kebangsaan Penderas, Kuala Krau hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Timbalan Menteri Dalam Negeri 1 yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Dr. Ahmad Jailani Muhamed serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Sapiah Mohd Nor.

Pembukaan pusat kuarantin khas untuk Orang Asli itu katanya mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan dikelolakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JAKOA.

Sejumlah 1,133 masyarakat Orang Asli di sepuluh buah perkampungan sekitar Kuala Krau dijangkiti Covid-19 dengan merekodkan empat kematian.

Perkampungan Orang Asli Kg. Penderas dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 10 hingga 25 September selepas 120 penduduk Orang Asli dijangkiti wabak itu.

Mahdzir berkata, sejumlah 134, 494 masyarakat Orang Asli sudah menerima vaksin dan daripada jumlah itu, 77,970 orang telah menerima dos pertama manakala 50,734 orang telah lengkap kedua-dua dos.

“Selain itu, seramai 5,790 individu Orang Asli telah menerima vaksin jenis CanSino. Baki yang masih belum divaksin sedang diusahakan untuk menerima vaksin secepat mungkin,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button