Pusat austisme akan dibina di Perlis
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal memulakan kerja-kerja pembinaan sebuah pusat autisme yang dikenali sebagai ‘A-Heart’ sebelum pertengahan tahun ini dan pengoperasian fasa awalnya diharap dapat adalah selewat-lewatnya pada Januari 2023.
Projek ‘A-Heart’ ini telah dicadangkan sejak beberapa tahun yang lalu, namun atas faktor dana yang belum mencukupi terpaksa ditangguhkan. Ia kelak tidak hanya memberi tumpuan kepada kanak-kanak autistik negeri ini semata-mata tetapi akan turut merangkumi penduduk yang berhasrat dari negeri-negeri lain di utara Malaysia dan juga kemudiannya mungkin dikembangkan kepada mereka dari selatan Thailand.
Demikian titah Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Tuanku Pengerusi YTSP Perlis pada sesi rakaman mempromosikan kempen menambah dana Pusat Autism Perlis ‘A-Heart’ tersebut melalui platform kerjasama dengan Global Center for Islamic Networking and Propagation (GCINP) atau Pusat Rangkaian Dan Sebaran Islam Global yang diadakan di Galeri DiRaja Arau.
Hadir menyambut keberangkatan baginda yang diiringi Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Tuanku Penaung DiRaja A-Heart ialah Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Darus dan Pengerusi GCINP Datuk Hj Shushilil Azam Shuib.
Menurut baginda lagi, berdasarkan statistik terkini di negara ini, bilangan kanak-kanak autistik yang ada dijangka meningkat dalam tempoh lima tahun akan datang terutama sekali apabila lebih ramai diberi perkhidmatan diagnostik. Oleh kerana itulah pembinaan pusat seperti ini dilihat amat penting dan relevan sekali pada ketika ini.
Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, di antara objektif pusat ini selain memberi pendidikan dan bimbingan, adalah bagi memberi latihan kepada kakitangan autism serta nasihat yang berkaitan dengannya, mewujudkan pusat diagnostik, menanamkan kesedaran dalam masyarakat, serta membantu Agensi Kerajaan dan Bukan Kerajaan dalam pelbagai isu berkaitan autism.
Tuanku Raja Muda Perlis turut melahirkan harapan agar lebih banyak pihak yang berkemahiran dan berkemanpuan dalam bidang autistik untuk tampil kehadapan bersama-sama mengembling tenaga dan membantu inisiatif YTSP Perlis, MAIPs dan UniMAP ini dalam membangunkan pusat autism ini.
Untuk rekod, pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) akan turut serta dengan menyediakan sebidang tanah seluas empat ekar di Kg Behor Lalang Perlis untuk tujuan ini dan turut bersedia menyelaraskan keseluruhan pengurusan berkaitan projek ini. Selain itu, cadangan penubuhan pusat ini turut terkandung dalam salah satu inisiatif di bawah Pelan Strategik MAIPs 2021-2025.