
Puasa bentuk peribadi bertaqwa, sabar dan penyayang
Sesungguhnya Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga bulan penyucian jiwa, peningkatan ketakwaan dan penyatuan umat. Ia adalah bulan yang penuh keberkatan, di mana setiap amalan dilipat gandakan pahalanya dan setiap doa dimustajabkan. Oleh itu, kita perlu sana-sama membuat persediaan yang rapi, bukan hanya dari segi fizikal, tetapi juga dari segi rohani.
Tujuan utama puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi untuk membentuk peribadi yang lebih bertaqwa, sabar, dan penyayang.
Bulan Ramadan juga menjadi ruang terbaik untuk memperbaiki diri, meningkatkan amalan serta mengeratkan lagi hubungan sesama manusia.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyampaian Sumbangan Agihan Zakat MAIPs di Masjid Terapung Al-Hussain, Kuala Perlis.
Baginda turut diiringi sama oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta anakanda puteri kedua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Baginda yang juga merupakan Yang DiPertua MAIPs berkenan menyampaikan sumbangan berjumlah RM210,000 kepada seramai 300 orang asnaf terpilih pada sesi ini.
Penerima terdiri daripada 75 orang Anak Kariah Padang Besar Selatan, 75 orang Anak Kariah Behor Lateh, 75 orang Anak Kariah Seriab, dan 75 orang lagi dari kalangam Anak Kariah Titi Tok Bandar.
Setiap asnaf menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM700, selain turut menjalani pemeriksaan saringan kesihatan secara percuma oleh Jabatan Kesihatan Negeri. Mereka juga berpeluang mendapatkan pendedahan bermanfaat melalui ceramah inspirasi, antaranya “Menjauhi Najis Dadah” oleh AADK Negeri Perlis serta “Bangun Jiwa Asnaf” oleh pihak MAIPs.
FOTO