Politik

PRU15 selepas COVID-19 berakhir tindakan tepat dapatkan mandat rakyat – Mohamad Hasan

Hasrat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebaik sahaja pandemik COVID-19 berakhir disifatkan sebagai keputusan yang tepat bagi mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata majoriti tipis yang ada di pihak pemerintah ketika ini menyebabkan ia sering dipersoal dan keadaan itu tidak baik bagi sesebuah kerajaan.

“Kerajaan tidak seharusnya terlampau berfikir tentang politik, apabila mendapat mandat baharu nanti, menang atau kalah itu biasa, kalau menang menanglah, kalau kalah kalahlah kerana rakyat yang akan menentukan, sama ada cepat atau pun lambat.

“Rakyat dah sedar bahawa kerajaan dengan majoriti yang tipis tak akan mendatangkan kebaikan kepada rakyat. Hasrat yang dinyatakan oleh perdana menteri itu sesuatu yang baik, bagi saya baik untuk mendapatkan mandat daripada rakyat, bukan atas desakan sesiapa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di luar bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini.

Sabtu lepas, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Perhimpunan Agung Tahunan 2020 parti itu memaklumkan bahawa PRU15 akan diadakan sebaik sahaja pandemik COVID-19 berakhir.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau enggan mengulas kenyataan mengenai isu jawatan Timbalan Perdana Menteri perlu diisi pemimpin UMNO.

“Presiden (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) sudah buat kenyataan, cukuplah,” katanya ringkas.

Semalam, media melaporkan bahawa Ahmad Zahid meminta agar pemimpin UMNO tidak mendesak Muhyiddin mewujudkan semula jawatan Timbalan Perdana Menteri dan memberikan kuota itu kepada parti tersebut.

— BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button