Nasional

Promosi ‘1 Masjid mendaftarkan 4 anggota sukarela baharu AW pada setiap tahun’ akan diperkenalkan semula – Raja Muda Perlis

REJIMEN 504 Askar Wataniah akan melipatgandakan promosi bagi merekrut golongan muda di negeri Perlis untuk menyertai Pasukan Simpanan Tentera Darat berkenaan melalui kaedah ‘1 Masjid mendaftarkan 4 anggota sukarela baharu pada setiap tahun’ bermula sejurus selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan nanti.

Perkara yang sama akan dilaksanakan bagi rumah-rumah ibadat bukan Muslim yang terdapat di seluruh negeri ini.

Untuk menjayakan inisiatif yang sinonim dengan salah satu slogan bagi memerangi pandemik COVID-19 iaitu ‘Kita Jaga Kita’ ini, maka amatlah dipohon jasa baik, bantuan padu serta sikap proaktif daripada kesemua Tuan-Tuan Imam serta Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa kariah 103 buah masjid, begitu juga kepimpinan rumah-rumah ibadat agama lain yang terdapat di negeri ini untuk meluangkan masa bagi mencari, menyenarai pendek serta memberikan nama-nama calon yang berminat, layak dan berkualiti kepada pihak rejimen kerana mereka sememangnya amat dekat dengan masyarakat setempat di lokasi masing-masing.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah yang berpengkalan di Kem Bukit Keteri, Perlis hari ini.

Tambah baginda lagi, Rejimen Askar Wataniah yang merupakan benteng pertahanan kedua negara juga berperanan bagi mempertahankan kawasan tanggungjawab masing-masing seperti kampung, pekan, daerah dan juga negeri.

Menurut Timbalan Komander rejimen berkenaan iaitu Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak pula, idea tersebut pernah dicetuskan sendiri oleh Tuanku Raja Muda Perlis pada sekitar tahun 2016 dan berjaya diimplementasikan di negeri ini. Akan tetapi ia tidak dapat diteruskan sebelum ini atas beberapa kekangan yang kini sudahpun dikenalpasti dan dapat di atasi.

Dalam masa terdekat ini pihak rejimen akan berhubungan dengan pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) bagi memohon restu dan sejurus selepas itu terus mengutus surat kepada kesemua masjid untuk memberikan info mengenai inisiatif ini.

Sejurus tamat PKP nanti pihak rejimen akan terus menghantar pasukan-pasukan promosi rejimen untuk memberi penerangan lebih lanjut serta menjawab sebarang kemusykilan yang ada dan mendapatkan cadangan nama-nama calon daripada kariah dan juga rumah ibadat masing-masing.

Tambah beliau, konsep ini juga mengikut kesesuaian setempat dilihat boleh secara berterusan diaplikasikan ke seluruh negara untuk meningkatkan lagi bilangan anggota pasukan.

Untuk rekod, Operasi (Op) PENAWAR yang telah dilancarkan sejak 23 Mac 2020 telah memasuki fasa ketiga dan kini telah menunjukkan kesan positif apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan penurunan jumlah kes positif baharu COVID-19 sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Walaupun Syukur Alhamdulillah Perlis telah diistyharkan sebagai ‘Negeri Zon Hijau Pertama Negara’, namun, pihak rejimen ini menyeru ‘Rakyat Perlis Yang Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan’ ini untuk sama-sama terus membantu pihak berkuasa dan juga para petugas di barisan hadapan supaya tetap duduk di rumah dan hanya keluar jika perlu.

Rakyat juga diingatkan agar jangan terlampau selesa serta mengabaikan PKP ini supaya kita dapat memerangi wabak Covid-19 ini daripada terus menular dan seterusnya mengakibatkan serangan ‘Gelombang Kedua’ dari sama sekali berlaku khususnya di negeri ini.

Penglibatan para pegawai dan anggota lain-lain pangkat Rejimen Askar Wataniah sebagai dalam Op PENAWAR menerusi Latihan Kerahan Untuk Berkhidmat (LKUB) setakat ini juga telah berjaya membuktikan kredibiliti serta peranan penting melalui aturgerak anggota sukarela serta amat relevan bagi membantu pihak berkuasa awam.

Bagi golongan muda rakyat Perlis yang sihat tubuh badan dan memenuhi segala kriteria keperluan minima termasuk akademik yang ditetapkan dan berhasrat untuk menyertai Rejimen 504 Askar Wataniah sebagai anggota sukarela atau sukarelawati bolehlah menghubungi pihak Rejimen melalui kaedah  Email : [email protected], telefon : 04 9386073 atau Fb : Rejimen Askar Wataniah Perlis.

Proses dokumentasi selanjutnya akan dilaksanakan sejurus selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir nanti. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button