Luar Negara

Presiden Trump digesa keluarkan arahan pemakaian pelitup muka

Florida catat kes baharu Covid-19 18,000 minggu lepas

“KENAPA kita pada saat ini sebagai sebuah negara, masih belum melakukan langkah sederhana, mudah dan minimum ini dengan menyatakan, ‘Anda mesti memakai pelitup muka semasa anda berada di khalayak ramai’.”

Begitulah lontaran kenyataan dan persoalan yang dikemukakan oleh Gabenor New York, Andrew Cuomo yang menggesa Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump agar mengeluarkan arahan eksekutif supaya pemakaian pelitup muka atau face mask diwajibkan di seluruh negara itu.

Cuomo dengan penuh semangat membuat kenyataan itu pada taklimat hariannya di New York semalam kerana melihat jumlah kes baharu Covid-19 semakin meningkat di kebanyakan negeri di AS.

Memberi contoh Florida misalnya, negeri itu mengalami peningkatan besar pada hujung minggu lalu dengan jumlah kes baharu mencapai hampir 18,000 kes.

Kata Cuomo, Presiden Amerika boleh melakukan dua perkara  dan salah satunya ialah menandatangani perintah eksekutif yang mengarahkan semua orang untuk memakai pelitup muka.

“Kenapa kita pada saat ini sebagai sebuah negara masih belum melakukan langkah-langkah yang sederhana, mudah dan minimum ini dengan menyatakan, ‘Anda mesti memakai pelitup muka semasa anda berada di khalayak ramai’”, katanya.

Dalam taklimat itu juga, Cuomo berkata, beliau membina arca di dalam garajnya mengenai unjuran Covid-19 di New York.

Arca unjuran itu, ujar Cuomo, memberi amaran bahawa pihaknya tidak mahu lagi unjuran kes virus itu meningkat di Manhattan.

Sementara itu, Cuomo turut berkata, pihaknya juga sedang giat mempertimbangkan untuk melonggarkan sekatan dengan membenarkan pengunjung, makan di dalam restoran di New York.

“Keputusan itu akan dibuat pada Rabu (esok) sama ada cadangan melonggarkan sekatan membenarkan pengunjung makan di restoran-restoran di New York, dapat dilaksanakan,” katanya.

Di negara kita, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) banyak memberi kelonggaran kepada rakyat tetapi semua perlu mematahui Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Antara SOP PKPP yang harus akur dan perlu dijadikan budaya baharu dalam kehidupan setiap rakyat Malaysia hari ini ialah penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter.

Restoran-restoran dan kedai-kedai makan yang beroperasi menerima pelanggan duduk makan di dalam restoran juga harus akur dengan SOP penjarakan sosial.

Pemilik premis restoran, kedai dan gerai serta pusat membeli belah, harus menyediakan hand sanitizer selain daripada mengambil suhu badan pelanggan sebelum dibenarkan masuk ke dalam premis perniagaan mereka.

Jika ada yang melebihi suhu badan yang ditetap, pemilik premis berhak untuk tidak membenarkan pelanggan masuk ke dalam kedai mereka.

Dan semestinya memakai face mask atau pelitup muka itu wajib dalam kalangan masyarakat kita hari ini kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati. #kitajagakita – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button