Luar NegaraSukan

Presiden Sukan Olimpik Tokyo mohon maaf keluarkan komen “wanita bercakap terlalu banyak”

Presiden Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Tokyo, Yoshiro Mori membuat permohonan maaf hari ini dalam satu sidang media selepas beliau mengeluarkan komen tidak senang terhadap kaum wanita.

Mori, 83, mengatakan bahawa “wanita bercakap terlalu banyak” dan mesyuarat bersama Ahli Lembaga Pengarah wanita akan “mengambil masa yang lama”.

Dia membuat kenyataan itu ketika mesyuarat Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Tokyo pada Rabu lalu ketika ditanya mengenai matlamat jawatankuasa sukan itu untuk meningkatkan jumlah wanita sebagai Ahli Lembaga Pengarah dari 20% menjadi 40%.

Mori mengatakan dia bimbang bagaimana hal itu akan mempengaruhi jangka masa mesyuarat itu akan berlangsung.

“Mesyuarat bersama wanita akan mengambil “masa yang lebih lama” kerana sifat “wanita yang berdaya saing”.

“Jika seorang ahli mengangkat tangan untuk bersuara, pasti ahli yang lain (ahli wanita) mungkin menganggap mereka juga perlu bercakap,”katanya seperti yang dilaporkan dalam akhbar Jepun.

“Sekiranya anda ingin meningkatkan keahlian kaum wanita, anda akan menghadapi masalah kecuali anda meletakkan had masa untuk mereka bercakap,” katanya lagi.

Sehubungan dengan itu, kenyataannya ini telah mencetuskan kemarahan di media sosial dengan tanda pagar #Moriresign tular di Twitter.

“Memalukan. Sudah sampai masanya untuk anda (Mori) bersara”, kata salah seorang pengguna di Twitter manakala yang lain menyeru agar atlet-altet memboikot Sukan Tokyo jika Mori tidak meletakkan jawatan.

Sehubungan dengan itu, Mori meminta maaf dan mengaku dia mengeluarkan kenyataan tersebut.

“Saya mengaku kenyataan saya pada Rabu lalu adalah ungkapan yang tidak sesuai dan menyalahi semangat Olimpik dan Paralimpik Jawatankuasa Sukan Olimpik Tokyo.

“Saya benar-benar menyesali dan memohon maaf kepada sesiapa yang terkesan”, katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button