Politik

PPSMI: Kerajaan mahu ulang kegagalan dahulu?

ADAKAH pelaksanaan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bakal mengulangi kegagalan pelaksanaannya.

Ketika pelaksanaannya dahulu, PPSMI menyebabkan kemerosotan murid dalam matapelajaran Sains dan Matematik.

Hakikat itu berlaku ketara dalam kalangan pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) berbanding Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).

Hal berkenaan diakui bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang menyelar usaha mengembalikan semula PPSMI.

Beliau berkata, penguasaan sesuatu ilmu itu perlu pada tempat yang sepatutnya agar mudah diterima dan difahami oleh murid.

“Ia bukan dibatalkan sesuka hati. Ia berdasarkan kajian oleh KPM dan dibentangkan sendiri oleh Ketua Pengarahnya ketika itu Tan Sri Alimuddin dalam Kabinet.

“Bahkan Tan Sri Muhyiddin berjumpa sendiri Tun Mahathir memaklumkan keputusan kerajaan itu. Berbudi bahasanya Najib kepada beliau,” katanya.

[BACA ARTIKEL] PPSMI perjudikan masa depan anak luar bandar — Suara Merdeka
[BACA ARTIKEL] PPSMI: Jangan terjatuh dalam lubang sama — Suara Merdeka

Mohd. Puad berkata demikian apabila mengulas isu PPSMI dalam Facebooknya dan menyifatkan kerajaan membuat ‘U-Turn’.

Beliau menambah, apa yang perlu kerajaan adalah meneliti terlebih dahulu supaya kegagalannya dahulu tidak diulangi lagi.

Katanya, persoalan yang timbul adalah apa yang hendak diperkasakan dalam PPSMI, Sains dan Matematik atau Bahasa Inggeris?

“Contoh paling mudah ialah lebih baik belajar tajwid dan tafsirnya dalam Bahasa Melayu. Yang penting ilmunya.

“Samalah dengan sains dan matematik. Yang penting ilmunya. Kalau bahasa Inggerisnya, maka perbaikilah kaedah mengajar Bahasa Inggeris,” ujarnya.

[BACA ARTIKEL] Dr. Mahathir tekankan keperluan mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris – Suara Merdeka

Jelas Mohd. Puad lagi, PPSMI dimansuh dan digantikan dengan Memartabat Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Menurut beliau, konsep berkenaan diperkenalkan supaya murid tidak ketinggalan dalam kedua-dua matapelajaran.

“Sebab itu MBMMBI diperkenalkan agar jangan yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran,” tulisnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button